Kerajaan perlu teliti keputusan roboh Stadium Shah Alam

Dato’ Dr Ahmad Yunus Hairi
- Advertisement -

SHAH ALAM: Kerajaan harus melihat semula semua keputusan untuk merobohkan Stadium Shah Alam bagi membina sebuah lagi stadium yang lebih moden di venue berkenaan.

- Advertisement -

Ahli Parlimen Kuala Langat, Dato’ Dr. Ahmad Yunus Hairi menegaskan pembangunan baru stadium yang dikatakan lebih berteknologi terkini di tapak yang sama menelan belanja yang terlalu tinggi.

Katanya walaupun kos pembinaan tersebut tidak melibatkan kewangan negeri secara langsung.

Menurut beliau pembinaan stadium baharu itu juga dimaklumkan boleh pelbagai guna dan mitigasi banjir.

“Secara peribadi saya tidak setuju. Keadaan struktur stadium yang dikatakan masih kukuh, masih boleh diolah untuk kegunaan pelbagai masyarakat.

“Masih boleh digunakan untuk pembangunan sukan dan olahraga terutamanya kepada pelajar-pelajar sekolah,” tegasnya ketika dihubungi Harakahdaily.

ADUN Sijangkang itu berkata, merobohkan struktur yang masih kukuh adalah suatu pembaziran terutamanya melibatkan kos yang besar.

Sepatutnya kata beliau ada kaedah untuk mengekalkan stadium yang masih kukuh itu.

“Tidak adakah kaedah lain bagi mitigasi banjir di Shah Alam?

“Sepatutnya kerajaan mengambil kira pembangunan di lokasi yang baharu yang secara tidak langsung membangunkan kawasan atau daerah,” ujarnya.

Beliau berpandangan kewajaran membangunankan stadium baharu di Kuala Selangor.

Ini kerana katanya kos tanah yang lebih murah dan ada lagi tanah kerajaan yang boleh dibangunkan.

Manakala katanya jarak dan lokasi juga tidaklah begitu jauh dari ibu negeri.

Ini bertepatan kata beliau Kuala Selangor adalah pusat pentadbiran yang pertama di Selangor.

Beliau berkata kos keseluruhan mungkin tidak akan mencecah dengan kos yang akan dibangunkan di  Shah Alam, apatah lagi tidak melibatkan kos mitigasi banjir.

Menurutnya pembangunan yang baharu ini juga akan melibatkan kos penyelenggaraan yang tinggi.

“Pembangunan yang akan diserahkan kepada kerajaan negeri selepas beberapa tempoh waktu, beliau khuatir kerajaan negeri tidak mampu untuk mengurus penyelenggaraannya.

“Pengalaman selama ini dalam menyelenggara aset-aset kerajaan membuktikan kegagalan kerajaan negeri,” tegasnya.

Terdahulu, Menteri Besar Selangor, Dato’ Seri Amirudin Shari mengesahkan mendapat kelulusan daripada Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) bagi memulakan projek terbabit. – HARAKAHDAILY 29/12/2023

- Advertisement -