NGO agih sumbangan kepada mangsa banjir

- Advertisement -

HULU TERENGGANU: Dua badan bukan kerajaan (NGO) menggembleng tenaga bagi menyalurkan bantuan seperti keperluan asas, makanan dan minuman kepada penduduk yang terjejas banjir di beberapa lokasi di kawasan Hulu Berang.

- Advertisement -

Ahli Dewan Undangan negeri (ADUN) Ajil, Maliaman Kassim berkata beliau bersama Team Lasak Kuala Terengganu dan Iman Care telah turun padang memberi sedikit sebanyak sumbangan barangan keperluan untuk mangsa-mangsa banjir yang terlibat. (Foto atas)

“Kita semua dikhabarkan dengan berita gembira, semalam keadaan air di Hulu Berang sudah semakin terkawal dan laluan utama telah dibuka untuk kenderaan umum.

“Alhamdulillah, syukur kepada Allah SWT masih lagi diberi peluang untuk turun membantu mangsa banjir di hulu berang dengan menghulurkan sumbangan barangan keperluan harian dan ubat-ubatan kepada mangsa yang terlibat,” ujarnya kepada pemberita.

Seramai 30 anggota NGO hadir secara sukarela menjayakan program kali ini beserta 10 buah pacuan empat roda yang membawa barangan bantuan.

Sementara itu, salah seorang penerima Nur Aqilah dari Kampung Menerong berkata sumbangan tersebut membantu meringankan beban yang mereka tanggung sepanjang berhadapan dengan bencana banjir yang melanda baru-baru ini.

“Saya ucapkan banyak-banyak terima kasih kepada YB Maliaman kerana hadir membantu kami datang melawat keadaan rumah, menghulurkan bantuan kepada kami.

“Kami merasa terharu dan sangat bersyukur atas tindakan YB dan NGO yang terlibat dalam bantuan kali ini,” katanya. – TRDI.my

- Advertisement -