Jawapan Ustaz Azhar Idrus bersifat umum

Ustaz Azhar Idrus
- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Orang ramai dinasihatkan supaya menjaga adab dan perilaku terhadap murabbi sejuta ummah, Ustaz Azhar Idrus yang telah bertahun-tahun mencurahkan manfaat dan menghidupkan majlis ilmu di merata tempat di seluruh Malaysia.

- Advertisement -

Pertubuhan Pendokong dan Pencinta Ulamak (Geng Ustaz), memandang serius serta bimbang dengan perkembangan semasa orang Islam di negara ini yang semakin tipis adab dan akhlak mereka terutama terhadap alim ulama dan asatizah.

Ketua Penerangannya, Ahmad Syakir Norazli berkata, sedangkan dalam agama perihal akhlak dan adab merupakan asas bagi setiap Muslim. 

“Hinaan dan usaha-usaha pembunuhan karakter yang cuba dilakukan oleh penyokong-penyokong pentaksub kerajaan pada hari ini jelas menunjukkan mereka adalah puak yang tidak mahu menerima sebarang teguran ataupun pembetulan.

“Biarpun kenyataan atau jawapan yang dibuat oleh Ustaz Azhar Idrus bersifat umum dan tidak khusus kepada mana-mana pihak,” katanya.

Menurut beliau, Imam Ahmad bin Hambal pernah menyebut yang bermaksud: “Daging para ulama itu beracun, barangsiapa yang menghirupnya maka dia akan tertimpa penyakit, dan barangsiapa yang memakannya maka dia akan mati”.

Maka, kata beliau bermuhasabahlah diri masing-masing bimbang ditimpa kecelakaan kelak akibat dari kerja kerja buruk menjatuhkan, menghina dan mencerca ulama.

Sehubungan itu, Geng Ustaz menyatakan sokongan serta solidariti buat Ustaz Azhar Idrus di sebalik isu yang sedang hangat menjadi bualan dalam kalangan rakyat di negara ini. – HARAKAHDAILY 28/12/2023

- Advertisement -