Lee Kuan Yew pernah mahu menjadi PM Malaysia 

- Advertisement -

RAMAI resah apabila isu Perdana Menteri Malaysia di kalangan bukan-Melayu dibangkitkan oleh veteran DAP Tan Sri Lim Kit Siang. Isu ini tidak pernah dipertikai atau dibangkitkan pun oleh mana-mana pihak sebelum ini. Ia tidak pernah menjadi tuntutan mana-mana parti semasa kempen pilihan raya dan juga tidak pernah dibangkitkan oleh mana-mana wakil di Parlimen.

Sesungguhnya Perlembagaan Malaysia memang tidak menyebut bahawa hak menjadi Perdana Menteri perlulah mewakili mana-mana kaum atau agama tertentu. Ini bermakna sebagaimana termaktub dalam Artikel 43(2) Perlembagaan Persekutuan, siapa pun yang memenuhi syarat artikel ini berhak menjadi Perdana Menteri.

Ia tidak dijelaskan secara terperinci namun amalannya, rakyat Malaysia sedar bahawa demi kestabilan politik negara layaklah seorang Melayu Bumiputera yang merupakan blok kaum majoriti dalam negara diangkat menjadi Perdana Menteri (PM) setelah memenuhi syarat Artikel 43 (2).

Ramai yang sedar bahawa isu status PM dari kalangan kaum Melayu ini tidak pernah menjadi masalah pada sesiapa pun baik masyarakat Cina, India atau kaum-kaum lain. Demikian juga tidak pernah kita dengar tuntutan dari rakan-rakan di Sabah atau Sarawak untuk menuntut jawatan PM ini.

Tetapi ramai tidak tahu bahawa isu ini sebenarnya pernah menggugat kestabilan politik di awal penubuhan Malaysia satu ketika dahulu. Kecuali mereka yang rajin membongkar dan membaca sejarah kemungkinan mereka yang lahir pasca 1980-an atau kemudiannya termasuk yang baru mengundi buat pertama kali tidak sedar akan perkara ini.

Malaya sebelum pembentukan Malaysia aman dan makmur, rakyat yang berbilang kaum saling hidup rukun dan damai penuh bertolak ansur. Mereka sedar kemerdekaan negara pada tahun 1957 berlaku dengan beberapa kontrak sosial yang diperakui dan dihormati semua pihak.

Rakyat Melayu penduduk asal negara bersetuju menerima kaum Cina dan India sebagai warganegara sebagaimana mereka dengan syarat beberapa perkara pokok dijamin dan dihormati semua pihak. Kontrak sosial ini termasuklah menerima Islam sebagai agama Persekutuan dan dengan itu lahir dan dibenarkan bergerak institusi Islam termasuklah Jabatan Agama, Undang-undang Syariah buat umat Islam, Mahkamah Syariah, institusi pengajian Islam. Selain itu Institusi Raja-raja Melayu didaulatkan, Bahasa Melayu diiktiraf bahasa rasmi, hak keistimewaan orang-orang Melayu dipelihara.

Oleh kerana kontrak ini mengangkat dan memartabatkan warisan dan asal-usul penduduk asal negara ini, khasnya berkaitan umat Melayu dan Islam maka wajarlah jawatan eksekutif tertinggi negara iaitu Perdana Menteri dipegang oleh seorang Melayu Islam. Janggal seorang bukan-Melayu akan mampu menguruskan isu berkaitan agama Islam, Raja-raja Melayu serta hak istimewa Melayu, lantas rakyat Malaysia secara terbuka rela jawatan penting ini dipegang oleh seorang Melayu walau Perlembagaan tidak menyatakan secara terperinci. Itulah amalan kita selama ini.

Sebaik penubuhan Malaysia dan dengan kemasukan Singapura yang ketika itu diketuai Lee Kuan Yew dari parti PAP, mulalah isu ini dibangkitkan sehingga mencabar kesabaran pimpinan dan umat Melayu ketika itu. Almarhum Tunku Abd Rahman ketika itu melihat penubuhan Malaysia sebagai usaha memperkukuhkan kestabilan politik dan ekonomi di rantau ini khasnya apabila disatukan negeri-negeri serumpun bersama Malaya.

Tetapi menurut Dr Kevin YL Tan (bekas Profesor Madya Fakulti Undang-undang NUS) dalam artikelnya di NST: “Lee dan komrad PAP nya melihat pembentukan Malaysia sebagai pembentukan sebuah negara baru. Sebuah negara yang memberi keadilan politik dan ekonomi buat semua, sekali gus membuka peluang buat Lee dan PAP untuk menyebarkan pengaruhnya ke Semenanjung.”

Lee Kuan Yew lah setelah pembentukan Malaysia yang telah mengapikan sentimen ini, membawa gagasan ‘Malaysian Malaysia’ iaitu memperjuangkan hak sama rata buat semua kaum dalam negara baru Malaysia (tiada lagi kontrak sosial sewaktu Malaya Merdeka dahulu). Beliau juga mula memainkan isu kelayakan menjadi PM Malaysia sehingga pernah mendakwa dengan jumlah penduduk bukan-Melayu yang besar, mereka juga berhak menjadi PM. Seorang pemimpin PAP, Sellapan Ramanathan malah mendakwa ketika itu Lee layak menjadi PM Malaysia.

Oleh itu bagi ramai yang resah dengan tuntutan PM bukan-Melayu oleh pimpinan DAP kebelakangan ini, sedarlah bahawa ia sesungguhnya sekadar membangkitkan kembali apa yang pernah dicetuskan oleh Lee Kuan Yew dari PAP sejak awal tahun 1960-an lagi. Lee dan PAP ketika itu cukup berpengaruh dan pidatonya diminati ramai. Akhirnya PM Umno memutuskan agar Singapura dipisahkan dari Malaysia demi mematahkan asakkan Lee dan PAP.

DAP hari ini juga cukup berpengaruh. Dalam Kerajaan Campuran PM ke-10, DAP merupakan parti paling dominan dengan 40 kerusi Parlimen mengatasi PKR dan BN. Munasabahlah dalam kedudukan seumpama itu, DAP berani untuk membuat tuntutan sedemikian, sekali gus mencabar kesabaran rakan-rakan Melayu mereka dalam kerajaan.

Dari jawatan PM kini ia juga menuntut diadakan kembali Pilihan Raya Pihak Berkuasa Tempatan (PBT). Satu demi satu tuntutan politiknya dizahirkan kerana mereka hari ini berpengaruh dan malah kerajaan ini juga bertenggek di atas kekuatan mereka.

Setakat ini PM dan pimpinan parti lain dalam kerajaan cuba mengendurkan isu dan tuntutan DAP ini, tetapi sejauh manakah ia mampu dalam keadaan realitinya DAP merupakan pemegang saham terbesar dalam kerajaan.

Lawan keresahan ini dengan Penyatuan Ummah. Kerana itu umat Melayu Islam perlu bersatu. Sebagai penduduk majoriti dalam negara, kuasa politik sesungguhnya di tangan kita, akan tetapi kerana berpecah kita menjadi lemah. Jangan sampai tuntutan-tuntutan seumpama ini akhirnya menjadi realiti.

ROSLAN SHAHIR MOHD SHAHIR – HARAKAHDAILY 28/12/2023 

- Advertisement -
- Advertisement -