SRITI komited lahirkan guru berkualiti seiring KPM

- Advertisement -

KOTA BELUD: Jabatan SRITI Negeri Sabah melaksanakan Kursus Guru SRITI Kohort 2 selama tiga hari dua malam bertempat di Usukan Cove Lodge, di sini bermula 26 Disember lalu.

- Advertisement -

Menurut Ketua Pemuda PAS negeri, Hendri Hamsah ketika merasmikan majlis itu, hari ini menyatakan SRITI komited melahirkan guru berkualiti seiring dengan KPM.

Menurutnya, latihan dan kursus berterusan yang diadakan merupakan satu langkah yang baik dalam meningkatkan kualiti guru SRITI.

“Kita menjadikan KPM sebagai model dalam membentuk guru kerana proses dan latihan yang dilaksanakan amat bersesuaian serta seiring dengan hasrat SRITI,” katanya.

Tambahnya, meskipun SRITI belum mampu mencapai sepenuhnya kualiti KPM, tetapi usaha yang berterusan sedikit sebanyak diharap dapat membentuk pendidik atau murabbi dengan baik.

“Semoga kursus ini dapat membuka peluang untuk guru-guru menjadi lebih berkualiti dalam mendidik generasi,” katanya lagi.

Beliau turut memberikan akronim S.I.K.A.P sebagai panduan kepada guru pelatih yang mengikuti kursus.

Katanya, setiap huruf mewakili makna tertentu iaitu, Suka, Ilmu, Keadaan, Amalkan, dan Perjuangan.

Beliau berharap agar guru pelatih menyukai bidang keguruan yang diceburi, sentiasa menambah ilmu pengetahuan, peka dengan keadaan, melaksanakan tugas dan cekal dalam perjuangan sebagai seorang pendidik.

“Tidak dapat dinafikan bahawa sikap merupakan elemen penting dalam menentukan hala tuju dan visi seseorang, begitu juga dengan guru,” ujarnya.

Peserta Kursus Kohort 2 kali ini terdiri daripada guru dari Kota Belud, Sandakan, Lahad Datu, Beaufort, Kinabatangan, Putatan dan Papar. – HARAKAHDAILY 28/12/2023

- Advertisement -