Tadabbur al-Quran: Menyemai dan menyubur syukur

- Advertisement -

AL-QURAN merupakan mukjizat kekal yang memberikan segala penjelasan kepada umat manusia. Hal ini dibuktikan berdasarkan firman Allah dalam surah al-Isra’ ayat 88 yang bermaksud “Katakanlah (wahai Muhammad) “Sesungguhnya jika sekalian manusia dan jin berhimpun demi mendatangkan sesuatu yang sebanding dengan al-Quran, mereka tidak akan mampu mendatangkannya walaupun mereka saling membantu”. Menurut Tafsir al-Maraghi, ayat tersebut menjelaskan al-Quran sebuah kitab mukjizat kerana makhluk tidak akan mampu untuk mewujudkan kitab seperti al-Quran. Justeru itu, sebagai umat Islam hendaklah sentiasa memelihara kesucian dan keagungan al-Quran dan sentiasa ingat bahawa al-Quran adalah penyelamat kepada umat akhir zaman. 

Al-Quran adalah mukjizat tertinggi Nabi Muhammad S.A.W yang berperanan sebagai al-syifa’(penawar) dan al-huda (petunjuk) untuk seluruh umat manusia di bumi ini. Sebagai umat Islam, menjadi kewajipan dan tanggungjawab kita mempelajari dan mendalami al-Quran. Terdapat dua cara yang telah diberikan oleh al-Quran untuk umat Islam memahami ayat-ayat suci di dalamnya. Kaedah pertama adalah ‘Tazakkur’, yang bermaksud peringatan, nasihat dan teguran. Hal ini dibuktikan berdasarkan firman Allah dalam surah al-Qamar, ayat 17 yang bermaksud “Dan demi sesungguhnya! Kami telah mudahkan al-Quran untuk menjadi peringatan dan pengajaran, maka adakah sesiapa yang mahu mengambil peringatan dan pelajaran (daripadanya).?”

Seterusnya, kaedah kedua adalah ‘tadabbur’ iaitu meneliti makna isi ayat-ayat suci al-Quran. Tadabbur merupakan perkataan Arab yang bermaksud pemikiran dan penelitian kepada sesuatu perkara yang baik. Tadabbur juga bermaksud menghayati, merenung dan memikirkan ayat-ayat suci al-Quran dalam usaha untuk memahami makna, maksud, hikmah dan pengajaran di sebalik ayat-ayat suci tersebut. Allah telah berfirman dalam surah Yunus, ayat 57 yang bermaksud “Wahai umat manusia! Sesungguhnya telah datang kepada kamu al-Quran yang menjadi nasihat pengajaran dari Tuhan kamu, dan yang menjadi penawar bagi penyakit-penyakit batin yang ada di dalam dada kamu, dan juga menjadi hidayah petunjuk untuk keselamatan, serta membawa rahmat bagi orang-orang yang beriman.” Ayat ini menjelaskan mengenai nasihat yang diberikan oleh al-Quran melalui hidayah Allah. 

Al-Quran juga merupakan penawar segala penyakit khususnya penyakit batin yang bermaksud sering kali ragu terhadap hakikat kebenaran. Penyakit ini berpunca dari hati yang sakit. Untuk mendapat hati yang sejahtera dan tenang, kita hendaklah sentiasa berusaha untuk mentadabbur ayat-ayat suci al-Quran kerana ayat-ayat tersebut boleh meresap ke dalam qalb (hati) manusia sehingga menusuk ke dalam jiwa. Allah telah berfirman dalam salah satu surah dalam al-Quran menuntut umat manusia untuk tadabbur makna isi tersirat di sebalik ayat suci dalam al-Quran antaranya dalam surah al-Nisa’ ayat 82 yang bermaksud “Patutkah mereka (bersikap demikian), tidak mahu memikirkan isi al-Quran? Kalaulah al-Quran itu (datangnya) bukan dari sisi Allah, nescaya mereka akan dapati perselisihan yang banyak di dalamnya.” Menerusi ayat tersebut, dapat dikenal pasti bahawa tadabbur amat penting dalam kehidupan setiap makhluk tanpa mengikut kaum dan agama kerana dengan bertadabbur kita akan memperoleh manfaat dan petunjuk darinya. Maka menjadi kewajipan ke atas umat Islam untuk mentadabbur al-Quran dengan membaca ayat suci al-Quran secara perlahan-perlahan seterusnya cuba memahami makna tersirat di sebalik ayat-ayat tersebut. 

Para cendekiawan telah menetapkan pelbagai prinsip dan cara-cara mentadabbur al-Quran yang boleh diamalkan oleh umat Islam dalam kehidupan seharian. Antara prinsip-prinsip tadabbur al-Quran yang telah ditetapkan oleh Al-Sunaidi dalam karyanya yang berjudul ‘Tadabbur Al-Quran’ adalah al-fahm, al-fiqh, al-bashirah, al-fikr, al-tafakkur, al-tadzakkur, al-ta’ammul, al-I’tibar dan al-istibshar. Setiap perkataan ini mempunyai maksud tersendiri dan berkait rapat dengan cara tadabbur seterusnya merupakan kunci utama. Antara yang dimaksudkan oleh sembilan perkara tersebut adalah yang pertama; al-fahm yang bermaksud memahami ilmu; manakala al-fiqh adalah mendalami ilmu. Seterusnya, al-bashirah yang bermaksud penyempurnaan ilmu; manakala al-fikr merujuk kepada kefahaman hadir dalam hati untuk menghasilkan ilmu. Seterusnya, al-tafakkur yang bermaksud akal fikiran digunakan untuk menghasilkan kefahaman; manakala al-tadzakkur ialah gambaran ilmu yang hadir dalam qalb (hati) akan menghasilkan amal seseorang. Seterusnya, al-ta’ammul yang bermaksud penelitian secara berulang kali sehingga mendapat kefahaman yang jelas mengenai makna di sebalik ayat; manakala al-i’tibar ialah mengambil iktibar daripada ayat tersebut. Akhir sekali, al-istibshar yang bermaksud membuat penelitian untuk menerangkan sesuatu perkara dan dijadikan sebagai dalil dan hujah dalam kehidupan.

Cara tadabbur al-Quran juga telah ditetapkan oleh Al-Sunaidi dalam kitab beliau iaitu mengamalkan makna tersebut di alam realiti, membaca al-Quran di dalam solat, memahami setiap makna ayat suci al-Quran dengan menggambarkan kisah di sebalik ayat tersebut, menjiwai ayat-ayat yang dibaca dan maknanya, mengambil tahu uslub al-Quran seperti perintah, larangan dan sebagainya serta mempelajari ilmu al-Quran. Selain itu, tadabbur al-Quran juga memerlukan etika. Etika untuk tadabbur al-Quran mengandungi dua jenis iaitu etika fizikal dan rohani. Etika fizikal ialah seperti penetapan tempat, masa, sentiasa berada dalam keadaan sedia dan bersemangat, memulakan dengan membaca doa tertentu seperti meminta petunjuk daripada Allah S.W.T, membaca al-Quran dengan tartil dan nada yang sesuai, sentiasa memberi perhatian pada ayat yang dibaca, menjaga adab membaca al-Quran dan cuba menjiwai makna ayat-ayat suci al-Quran tersebut. Manakala etika rohani pula ialah sentiasa menyucikan jiwa, sentiasa menyanjungi kebesaran Allah, memberi sepenuh perhatian kepada tadabbur, menghalang diri daripada membuat perkara yang menyebabkan kefahaman berkurang, memberikan fokus dan sentiasa menjadikan al-Quran sebagai saluran untuk berhubung dengan Allah. Justeru, jelas terdapat pelbagai prinsip dan langkah yang boleh kita ikuti untuk menghasilkan proses tadabbur yang berkesan.

Tadabbur al-Quran memberi impak positif terhadap diri seorang insan. Proses tadabbur ini dapat membersihkan hati daripada perkara-perkara negatif malah ketaatan kepada Allah semakin bertambah. Bagaimana untuk membersihkan hati? Dengan memahami, merenung serta mentadabbur ayat suci al-Quran agar dapat membersihkan qalb (hati). Pelbagai kelebihan dalam mentadabbur al-Quran antaranya; dapat menjaga dan meningkatkan keimanan. Seperti yang kita tahu, iman seseorang Muslim akan bertambah dan juga akan menurun. Iman akan bertambah sekiranya sentiasa berpegang dan mengamalkan al-Quran serta sentiasa merujuk kepada al-Quran dan membuat amal kebaikan. Apabila sentiasa berdamping dengan al-Quran, seseorang Muslim akan dilapangkan dada dan menenangkan hati seterusnya bersegera membuat kebajikan dengan sifat ikhlas dan tenang. Hal ini kerana seseorang Muslim tersebut dapat merasakan bahawa Allah dekat dengannya. Dengan bertadabbur juga dapat menghindari hati daripada kelalaian. Terdapat banyak ayat suci al-Quran menjelaskan perintah dan peringatan untuk menjauhi sifat lalai seperti lalai daripada solat, puasa dan sebagainya. Terdapat juga ayat-ayat suci al-Quran yang menjelaskan mengenai syurga dan neraka yang disebabkan kelalaian. Mempelajari dan membaca al-Quran adalah suatu ibadah hati. Sekiranya hati itu baik, maka seluruh anggota juga akan menjadi baik. Berdasarkan sebuah Hadis daripada Nu’man bin Basyir berkata, aku mendengar Nabi S.A.W bersabda yang bermaksud; “Ketahuilah bahawa pada jasad itu terdapat segumpal daging, jika ia baik maka baiklah seluruh jasadnya, jika ia buruk maka buruklah seluruh jasadnya, ketahuilah bahawa ia adalah hati (jantung).” [Riwayat al-Bukhari (52) dan Muslim (1599)]

Maka dengan itu amalan tadabbur ini hendaklah diterapkan dalam kehidupan masyarakat Islam. Kaedah hukum dalam al-Quran perlu dihayati dan dijadikan sumber rujukan utama dalam segala perkara dan persoalan yang muncul dalam masyarakat. Amatlah rugi bagi umat Islam sekiranya mengabaikan sumber panduan utama yang telah diberikan oleh Allah. Dengan membaca dan mengkaji ilmu al-Quran dapat menjauhkan umat Islam daripada kemunduran, jahil dengan ilmu atau kehilangan akhlak. Oleh itu, amatlah penting untuk berpegang dengan al-Quran bermula dengan bertadabbur dan menjadi tuntutan dalam kehidupan umat Islam. Pelbagai program tadabbur surah perlu dilaksanakan bagi membuka mata umat Islam bahawa tadabbur al-Quran amatlah menarik dan menambah ilmu di dada seterusnya dapat mempelajari ilmu al-Quran. 

FARHANAH IRAWANI JOHARI
Universiti Sains Islam Malaysia  – HARAKAHDAILY 17/12/2023 

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS.

- Advertisement -
- Advertisement -