KUALA LUMPUR: Dasar luar kerajaan masih lagi tidak jelas sehingga menyebabkan berlaku rombakan kabinet selepas setahun kerajaan Madani.
Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Dr. Mohd Zuhdi Marsuki berkata, kawasan Laut China Selatan dan Laut Andaman masih menjadi pertembungan antara dua kuasa besar iaitu Amerika Syarikat dan China.
Kata beliau, kerajaan masih tidak mengamalkan dasar luar yang jelas dan ia merupakan suatu perkara yang tidak wajar berlaku.
“Kita lihat Switzerland yang mana negara tersebut sangat berhati-hati dalam dasar luarnya dan buktinya pada Perang Dunia Kedua negara itu tidak menyebelahi mana-mana pihak,” katanya kepada HarakahDaily ketika ditemui pada program Ucapan Dasar Presiden di di Kolej Universiti Islam Zulkifli Muhammad (KUIZM) di Taman Melewar, Batu Caves, di sini, hari ini.
Menurut beliau, negara ini ketika ditadbir mantan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Abdul Razak juga melakukan sedemikian berbaik dengan kedua-dua kuasa besar tersebut.
Tambah beliau, ia merupakan satu perkara yang wajar supaya dapat menjaga kepentingan diplomatik antara Amerika Syarikat dan China serta sekaligus tidak akan berlakunya sifat berat sebelah.
“Sesebuah negara hanya bijak dalam perlaksanaan dasar luar sudah cukup menjadi negara yang hebat,” katanya.
Dalam rombakan kabinet baru-baru ini, Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hassan, bertukar portfolio daripada Menteri Pertahanan kepada Menteri Luar menggantikan Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir yang kini dilantik sebagai Menteri Pengajian Tinggi.
Dr. Zuhdi juga berkata, pertukaran menteri itu sendiri jelas menunjukkan kerajaan masih tidak menyelesaikan masalah dasar luar dengan jelas.
“Jadi, kerajaan perlu berjaga-jaga dalam apa pun perlaksanaan dasar luar supaya kedaulatan negara kita tidak dapat diganggu oleh mana-mana pihak sekalipun,” tegasnya. – HARAKAHDAILY 16/12/2023
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!