Jangan pandang remeh persoalan harta

- Advertisement -

BENTONG: Umat Islam diingatkan supaya tidak memandang remeh persoalan harta benda dan ilmu pengurusan harta pusaka kerana ia berkait rapat dengan maruah orang hidup dan mati.

- Advertisement -

Timbalan Yang Dipertua PAS Kawasan Bentong, Ustaz Ahmad Junaidi Ishak berkata harta yang ditinggalkan di atas dunia mampu menjadi wasilah yang sangat berguna untuk menjaga maruah andai digunakan pada landasan yang benar.

Katanya, di dalam al Quran melalui ayat 34 dan 35 surah at Taubah, Allah memberi amaran bahawa sesiapa yang menyimpan harta benda tetapi tidak membelanjakannya pada jalan Allah, maka mereka akan mendapat balasan dan azab seksa yang pedih.

“Kita perlu berhati-hati agar tidak memandang remeh persoalan harta benda dan hal-hal berkait pengurusannya. Harta kalau tidak digunakan, membazir. Ia memberi faedah jika diguna.

“Dalam Islam, harta wajib ada dua, satu sebagai maruah dan satu lagi untuk nafkah. Jaga maruah hukumnya wajib. Nak jaga maruah kena ada harta. Nafkah pula berkait dengan tanggungan. Jika ada tanggungan, maka kena ada nafkah,” ujarnya

Jelasnya lagi, harta yang disimpan atau dipunyai perlu diguna atau dibelanjakan sewajarnya agar faedah atau manfaatnya mengalir tanpa sekatan dan memberi keuntungan kepada yang orang hidup dan mati.

“Allah SWT marah andai manusia tidak belanjakan harta dia. Bila hidup gunakan harta untuk tujuan menjaga maruah dan nafkah. Bila mati, tinggal maruah. Di mana maruah?

“Maruah untuk si mati dan maruah untuk yang hidup. Di situlah gunanya harta. Apa yang ditinggalkan oleh si mati bukan untuk mengayakan tetapi untuk menjaga maruah orang yang hidup agar tidak menjadi buah mulut, dituduh merempat oleh orang sekeliling,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan program ‘Taklimat Perancangan Harta dan Pengurusan Harta Pusaka’ anjuran Sidang Assabiqun PAS Kawasan Bentong bertempat di Markaz Cawangan PAS Taman Kolej, semalam. – HARAKAHDAILY 17/12/2023

- Advertisement -