Sekarang masa sesuai PM pinda perlembagaan

Wan Ahmad Fayshal
- Advertisement -

KOTA BHARU: ‘Impian Malaysia’ versi pemimpin DAP seolah-olah mematikan roh dan semangat penubuhan Persekutuan Malaysia yang meletakkan perpaduan kaum berteraskan penghormatan kontrak sosial.

- Advertisement -

Selain itu perlu mengambil kira wasiat Raja-Raja Melayu serta konsensus tidak bertulis (unwritten consensus).

Ketua Armada Bersatu Malaysia Wan Ahmad Fayshal Wan Ahmad Kamal berkata, kenyataan Lim Kit Siang ‘Perlembagaan Malaysia tidak menghalang seorang bukan Melayu dari menjadi Perdana Menteri’ menimbulkan pelbagai keresahan dalam kalangan orang Melayu.

Katanya, bagi mengelakkan polemik isu itu berterusan wajar Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mendakwa memiliki dua pertiga di Dewan Rakyat segera meminda Perlembagaan Persekutuan.

“Pinda perlembagaan supaya hanya seorang Melayu beragama Islam boleh menjadi Perdana Menteri Malaysia.

“Mungkin, dengan cara ini, sedikit sebanyak dapat memulihkan sokongan orang Melayu kepada kerajaan sekarang berbanding memperagakan capal, songkok, cium keris, atau bertiwikrama bahasa!,” katanya pada kenyataan.

Menurutnya melalui langkah itu dapat mematikan igauan pemimpin DAP yang berpuluhan tahun mengigau dan menjual mimpi ngeri kepada orang Melayu dan kaum pribumi.

Sedangkan kata beliau mereka yang mempelopori perjuangan kemerdekaan tanah air dengan bermandi darah dan air mata melawan penjajah ratusan tahun. – HARAKAHDAILY 14/12/2023

- Advertisement -