‘Saya ingat MP sokong PMX dilantik menteri’

Datuk Seri Takiyuddin Hassan
- Advertisement -

KOTA BHARU: “Saya menjangka ahli parlimen (MP) Bukit Gantang Dato’ Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal disenarai sebagai ahli kabinet baharu, rupanya tidak.

- Advertisement -

“Jangkaan saya meleset rupanya,” kata Setiausaha Agung PAS Datuk Seri Takiyuddin Hassan.

Kata beliau sepatutnya ahli parlimen terbabit diberi kedudukan kerana menyatakan sokongan terhadap kerajaan Madani di Dewan Rakyat baru-baru ini.

Menurutnya agak dukacita apabila tiada seorang pun ahli parlimen Bersatu yang menyokong Perdana Menteri dilantik sebagai menteri atau timbalan menteri dalam rombakan kabinet Selasa lepas.

Beliau turut menolak dakwaan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menyatakan akan menerima sokongan tambahan daripada wakil rakyat PERIKATAN NASIONAL (PN).

“Sokongan yang diberi wakil rakyat PN tidak memberi jaminan mereka akan menyokong sebarang usaha kerajaan.

“Sepatutnya pihak yang membuat dakwaan untuk membuktikan dan bukan sekadar bercakap sahaja.

“Saya mengatakan mereka yang mengisytihar sokong Perdana Menteri pun belum tentu akan memberi sokongan dalam bentuk undi kepada kerajaan,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan Syed Abu Hussin Hafiz mendakwa sekurang-kurangnya lapan lagi ahli Parlimen pembangkang akan tampil menyokong Perdana Menteri.

Baru-baru ini empat lagi ahli parlimen Bersatu menyatakan sokongan terhadap Perdana Menteri iaitu Zahari Kechik (Jeli), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) dan Datuk Dr Suhaili Abdul Rahman (Labuan). – HARAKAHDAILY 14/12/2023

- Advertisement -