Pencarian bakat porno, pihak berkuasa perlu bertindak segera

- Advertisement -

JABATAN Muslimat Profesional ingin menyuarakan kebimbangan akan implikasinya terhadap rakyat Malaysia amnya, khusunya para remaja wanita dengan merujuk kepada laporan terkini berkaitan dengan seorang individu yang mendakwa mewakili ‘studio filem lucah pertama dan satu-satunya’ di Malaysia.

- Advertisement -

Perkara ini didedahkan oleh seorang individu yang berkongsi pengalaman buruknya itu dengan Portal SAYS, menceritakan mesej peribadi yang diterima melalui Instagram daripada studio berkenaan.

Keadaan ini dibimbangi akan membawa kepada kepada percubaan oleh entiti lain di Malaysia untuk terlibat dalam industri pornografi.

Kita juga bimbang akan unsur-unsur jenayah lain seperti pemerdagangan manusia yang mengeksploitasi mangsa menerusi akaun sebegini.

Undang-undang Malaysia telah jelas mengharamkan pengeluaran, pengedaran, dan pemilikan bahan lucah. Bahagian 292 Kanun Keseksaan menggariskan aktiviti berkaitan bahan lucah sebagai jenayah. Individu yang terbukti bersalah boleh dikenakan denda sehingga RM10,000 dan penjara sehingga 3 tahun. Akta Penapisan Filem 2002 juga secara khususnya mengharamkan pemilikan sebarang filem lucah atau bahan iklan filem yang bersifat lucah.

Walau bagaimanapun, jika kita berbicara tentang pengawalan tontonan bahan lucah, terdapat jurang atau loophole yang ketara dalam undang-undang. Bahagian 292 Kanun Keseksaan dan Akta Penapisan Filem 2002 tidak mengharamkan penontonan filem bahan lucah secara atas talian.

Bagi umat Islam, secara umum kita tahu akan pengharaman bahan lucah. Allah SWT menyatakan dalam Al-Quran:

وَٱلَّذِينَ هُمْ لِفُرُوجِهِمْ حَـٰفِظُونَ ٥

إِلَّا عَلَىٰٓ أَزْوَٰجِهِمْ أَوْ مَا مَلَكَتْ أَيْمَـٰنُهُمْ فَإِنَّهُمْ غَيْرُ مَلُومِينَ ٦

فَمَنِ ٱبْتَغَىٰ وَرَآءَ ذَٰلِكَ فَأُو۟لَـٰٓئِكَ هُمُ ٱلْعَادُونَ ٧

“Mereka (orang-orang yang beruntung) adalah orang-orang yang menjaga kemaluan mereka. Kecuali kepada pasangan atau hamba sahaya yang mereka miliki maka sesungguhnya mereka tidak tercela. Maka barang siapa mencari di balik itu, maka merekalah orang-orang yang melampaui batas.” (Surah al-Mu’minun: 5-7)

Amat jelas pengharaman untuk memandang aurat ajnabi, maka apatah lagi untuk menonton, menghasilkan dan menjual bahan lucah.

Jabatan Muslimat Profesional dengan ini, mendesak pihak berkuasa untuk memandang serius laporan oleh Portal SAYS. Siasatan segera dan menyeluruh mengenai perkara ini adalah penting untuk memastikan tindakan yang sewajarnya diambil selaras dengan undang-undang.

Pertimbangkan juga pelancaran kempen kesedaran awam untuk mendidik rakyat tentang implikasi undang-undang terlibat dalam industri filem dewasa. Pendekatan proaktif ini boleh bertindak sebagai pencegah dan membentuk masyarakat yang lebih berpengetahuan dan berwaspada.

DR SITI AMINAH MUHAMMAD IMRAN
Pengarah Jabatan Muslimat Profesional
Dewan Muslimat PAS Malaysia
14 Disember 2023 – HARAKAHDAILY 14/12/2023

- Advertisement -