Projek MLFF: Mana tata kelola ketelusan Kerajaan Madani?

- Advertisement -

KERAJAAN Madani telah menandatangani ‘perjanjian pelantikan’ secara rundingan terus kepada sebuah syarikat swasta yang tiada pengalaman dalam sektor konsesi tol, pada 17 November 2023, bagi penganugerahan projek Multi-Lane Free Flow (MLFF) yang bernilai RM3.46 bilion. 

Lajnah Hal Ehwal Konsumer dan Kepenggunaan PAS Pusat menggesa Kerajaan Madani untuk berterus-terang dalam isu pemberian kontrak secara terus ini kerana keadaan turut membimbangkan apabila 32 syarikat konsesi lebuhraya turut membantah tindakan Kerajaan Madani ini.

Beberapa penjelasan perlu dibuat oleh Kerajaan Madani kepada rakyat Malaysia dengan kadar segera.

a. Pertama, Menteri Kewangan, yang juga Perdana Menteri perlu memberikan penjelasan kenapa projek berbilion Ringgit diluluskan secara rundingan terus, lebih parah syarikat ini tiada pengalaman dalam sektor konsesi tol.

b. Kedua, di saat hutang negara mencanak naik, apakah kewajaran untuk membazirkan wang rakyat sebanyak RM3.46 bilion untuk sistem pembayaran tol. Ini bertentangan dengan aspirasi menghapuskan tol oleh Pakatan Harapan.

c. Ketiga, penganugerahan projek ini seperti monopoli terang-terangan, di mana syarikat berkenaan akan mendapatkan kos pelaksanaan dengan bayaran tahunan antara RM650 ke RM800 juta oleh syarikat konsesi. Dari manakah sumber kewangan bagi bayaran tahunan ini? Rakyat berkemungkinan menjadi mangsa sekiranya bayaran tol dinaikkan.

d. Keempat, Kementerian Kerja Raya melaksanakan projek ini tanpa analisa menyeluruh. Kerajaan Madani digesa memperincikan kelemahan MLFF dan mekanisma bagi menangani masalah yang akan timbul sebelum ia dilaksanakan. Mekanisma harus diseragamkan dengan butiran pemilik kereta seperti nombor pendaftaran kenderaan dan insurans, termasuklah keupayaan mengesan lokasi pemilik kenderaan sekiranya melanggar tol.

Ini bukanlah masanya untuk membazirkan duit rakyat dengan penganugerahan projek yang tidak mengikut tata kelola yang betul. Lajnah Hal Ehwal Konsumer dan Kepenggunaan PAS Pusat menggesa Kerajaan Madani untuk memberikan penjelasan secara tuntas, seterusnya menarik balik keputusan tersebut.

“Adil, Prihatin dan Berkebajikan”

YB IR TS HAJI KHAIRIL NIZAM KHIRUDIN
Pengerusi 
Lajnah Hal Ehwal Konsumer dan Kepenggunaan
PAS Pusat – HARAKAHDAILY 8/12/2023

- Advertisement -
- Advertisement -