Perjalanan Sidang Parlimen serlah cacamerba kerajaan 

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Persidangan Dewan Rakyat berakhir minggu lalu telah merakamkan banyak catatan sejarah penting buat negara, namun tidak sedikit hal terjadi di luar kewajaran dan penghormatan sepatutnya.

Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Ahmad Amzad Hashim yang juga bekas Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi diminta memberi rumusan dalam mengulas secara umum perjalanan persidangan sepanjang 32 hari itu.

Soalan tidak dijawab

Antara isu yang mencuri tumpuan adalah kegagalan pihak kerajaan hadir bagi menjawab soalan-soalan dikemukakan di mana ia merupakan tanggungjawab penting Menteri dan Timbalan Menteri bagi premis tersebut.

Menurut Datuk Amzad, perkara tersebut tidak pernah berlaku ketika kerajaan-kerajaan sebelum ini yang mana memperlihatkan pihak kerajaan gagal menyusun untuk soalan telah dikemukakan dijawab dengan sewajarnya.

“Benda itu tak patut berlakulah, Menteri bila soalan dia, dia mesti jawab. Sebab soalan itu telah diberi berbulan-bulan sebelum daripada persidangan. Dan memang setiap kali soalan itu diberi, kementerian yang berkenaan dia akan menyiapkan jawapan. 

“Kalau tak ada Menteri, (maka) Timbalan Menteri mesti ada, dan memang dibenarkan juga keadaan di mana kalau Menteri dan Timbalan Menteri pun tak ada, barulah dia boleh soalan itu dijawab dia serah kepada Timbalan ataupun Menteri lain jawab,” ujarnya.

Katanya, di bawah Kerajaan Madani kini, lima kali perkara seperti itu terjadi dan sepatutnya Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim perlu memberi amaran kepada Menteri-menteri Kabinet terhadap isu itu.

Kesali beliau, terjadi berulang perkara tersebut seolah-olah menunjukkan tiada komitmen dan penghormatan kepada institusi Parlimen oleh atau daripada pihak kerajaan sendiri.

Beliau juga menyinggung perbahasan berkaitan usul dan rang-rang undang (RUU) yang di bawa ke Parlimen untuk diluluskan di mana ia tentulah memerlukan komitmen dan sokongan oleh Ahli-ahli Parlimen penyokong kerajaan sendiri.

Malangnya beritahu beliau, seringkali berlaku keadaan di mana korum tidak cukup yang juga memperlihatkan betapa Ahli-ahli Parlimen di blok kerajaan sendiri tidak berminat membincangkan usul atau RUU itu.

Pembangkang ‘disekolahkan’?

Pun begitu, beliau merasa lucu apabila di sebalik cacamerba yang berlaku di blok kerajaan dan penyokong kerajaan, mereka mendakwa telah ‘sekolahkan’ pembangkang dengan jawapan-jawapan diberikan.

Namun balas Amzad, hakikat yang terjadi apabila Speaker sebenarnya dilihat cuba menyelamatkan Menteri, malah tuduhan atas pembangkang tidak selari dapatan bahawa rakyat ketika ini hilang kepercayaan kepada kerajaan.

Bahkan Speaker katanya, seolah-olah cuba mengawal Ahli-ahli Parlimen hingga ke tahap perkataan yang disebut atau digunakan, sedangkan Peraturan Mesyuarat hanya melarang penggunaan perkataan tertentu sahaja.

“Nak kata Ahli Parlimen kerajaan atau PMX menyekolahkan pembangkang pun itu tak betul. Saya tengok banyak jawapan-jawapan yang diberikan oleh PMX bunyi sedap dalam Parlimen. Tapi bila ditengok pada fakta tak betul,” ujarnya.

Beliau turut merujuk pelbagai janji dan reformasi yang digegarkan Perdana Menteri dan Menteri-menteri beliau semasa menjadi pembangkang, tetapi semua itu langsung tidak dilaksanakan ketika memegang kuasa.

Ralat dalam Belanjawan 2024?

Diminta menyentuh isu ralat dalam Belanjawan 2024, beliau juga menyifatkan itu sebagai satu lagi ‘sejarah atau rekod’ negara di bawah Kerajaan Madani di mana hal seperti itu tidak pernah terjadi sebelumnya.

Menurut beliau, ralat sehingga RM4,000 juta tidak boleh dianggap kesilapan berdasarkan perakaunan kerana jumlahnya sangat besar yang memperlihatkan kelemahan perancangan kewangan negara.

“Macam last minuted punya perubahan sehingga menyebabkan apa yang dicetak itu dan kalau tak ditegur ketika itu oleh Ahli Parlimen daripada pembangkang sebab takkan ada penjelasan tentang ralat RM4,000 juta ini. 

“Jadi ini adalah sesuatu yang menyebabkan kita rasa ada untuk memeriksa semua dokumen-dokumen yang ditunjuk sekiranya berlaku kesilapan-kesilapan lain yang lebih besar,” ujarnya menyatakan kebimbangan.

Beliau turut mempersoalkan beberapa kedudukan untuk dijadikan pencapaian negara dalam beberapa Indeks global yang dinyatakan dalam Belanjawan itu tidak realistik antara usaha dan masa.

Juga pertikainya, terhadap manipulasi angka antaranya melibatkan hasrat menangani atau menoktahkan miskin tegar, tetapi data dikemukakan tidak selari dengan keadaan telah dan sedang dihadapi oleh rakyat miskin.

Ahli Parlimen ponteng persidangan?

Berbangkit isu ‘ponteng’ persidangan parlimen, Datuk Amzad yakin perkara tersebut telah menjadi pengetahuan umum yang menjadi saksi kepada kehadiran lebih nyata antara pihak kerajaan dan pembangkang.

“Bukan semua Ahli Parlimen dia akan lekat gam, tak lari. Dia ada waktu dia akan sembahyang, ada waktu dia ada mesyuarat di luar. Macam saya sendiri, saya jadi Pengerusi Jawatankuasa Khas Parlimen untuk alam sekitar, sains, teknologi. 

“Ada ketikanya kita akan bermesyuarat. Jadi, pada waktu kita bermesyuarat tu, kita tidak ada dalam dewan. Begitu juga ada yang menjadi ahli pada jawatankuasa dan macam-macam select committee.

“Kemudian kita ada apa ni tablet, public account committee lagi. Jadi, memang Ahli-ahli Parlimen bukan semua akan berada di dewan sepanjang masa,” terang beliau.

Namun katanya, selari isu dipertikaikan banyak pihak, beliau mempersoalkan ketetapan kerajaan mengadakan Mesyuarat Kabinet pada hari Rabu menyebabkan Perdana Menteri dan Menteri-menteri tiada di Parlimen pada waktu itu.

Hal tersebut jelasnya, tidak berlaku ketika Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri di mana Mesyuarat Kabinet diubah ke hari Jumaat agar mereka dan Menteri-menteri memberi komitmen kepada Parlimen.

Negeri pembangkang dianaktirikan

Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat ini dalam ulasan kepada pertanyaan turut menempelak kembali perlekehan Menteri Kerajaan Madani terhadap negeri-negeri yang dikatakan ketinggalan.

Bidasnya, sebagai Menteri Persekutuan, tidak sewajarnya bernada memperlekeh, kerana perlu menganggap sebarang kemunduran mahupun kejayaan, ia sebenarnya turut mewakili negara Malaysia seluruhnya.

“Jangan ingat negeri itu miskin kerana dia nak miskin, tak. Dia perlu sokongan dari segi perancangan jangka panjang, master plan besar itu ditentukan oleh Kerajaan Persekutuan. 

“Lainlah kalau dia nak serah kepada dari segi okay Terengganu boleh kutip cukai sendiri, Terengganu boleh dibuat sendiri dan bangunkan sendiri. Kalau nak bagi ekonomi macam itu, okay? Tak ada masalah, boleh buat. 

“Kita boleh apa ini korek minyak sendiri, kita berniagakan sendiri. Tapi masalahnya kita sebahagian daripada Malaysia. Maknanya ini adalah tujuan kita berada dalam negara kita sebagai satu Persekutuan. 

“Jadi kena hormat-menghormatilah. Jangan apa ni Menteri pula memberi nada memperlekehkan negeri,” selar beliau menujukan isu itu kepada Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli.

Islam diperlekeh MP bukan-Muslim

Datuk Ahmad Amzad juga meluahkan kekesalan membabitkan isu sensitif berkaitan agama Islam yang dilihat berlaku campur tangan secara tidak sepatutnya oleh Ahli Parlimen bukan-Muslim.

Antaranya diulang kembali oleh beliau adalah tindakan mentafsirkan sendiri ayat al-Quran dan peruntukan kementerian digunakan untuk program ‘Jom Ke Gereja’ yang tular di media sosial sebelum ini.

Tetapi bagi beliau, perkara yang malang adalah Ahli-ahli Parlimen Islam di pihak kerajaan gagal atau tidak bangkit menegur tindakan tersebut, bahkan menjauhkan diri dan apologetik dalam perkara berkaitan Syariah. – HARAKAHDAILY 8/12/2023

- Advertisement -
- Advertisement -