Rakyat jadi duta promosi Tahun Melawat Perlis 2024/2025

- Advertisement -

KANGAR: Rakyat Perlis secara langsung menjadi duta bagi mempromosi Tahun Melawat Perlis 2024/2025 (TMP 2024/2025).

- Advertisement -

Justeru, Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah agar rakyat negeri ini memberi layanan terbaik buat pelancong bersempenaTMP2024/2025 yang julung kali diadakan.

“Paling penting ialah kita perlu peka kepada kehendak pelanggan supaya pelancong akan bertandang berulang kali.

“Rakyat Perlis umumnya secara tidak langsung merupakan duta TMP2024/2025 dan perlu memainkan peranan masing-masing,” titah baginda pada Majlis Pelancaran Perdana TMP2024/2025 di Dewan 2020, di sini, malam tadi. Berangkat sama, Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr Lailatul Shahreen Akashah Khalil dan dihadiri Menteri Besar, Mohd Shukri Ramli.

Titah baginda lagi, berilah layanan yang beradab, sopan santun, berbudi bahasa, mesra dan sentiasa menjaga imej bagi memberi persepsi baik buat para pelancong.

“Selain itu, para pengusaha rumah inap, pelancongan, pemilik restoran, pengendali pengangkutan awam dan pihak berwajib juga perlu menambah baik prasarana masing-masing buat semua pelancong,” titah baginda.

Menurut baginda lagi, TMP2024/2025 bakal menampilkan keunikan dan keindahan muka bumi Perlis selain dari pelbagai  budaya rakyat negeri itu.

“Pengunjung boleh meluangkan masa dengan meneroka keindahan dan keistimewaan di Perlis bagi merasai makanan unik dan melawati tempat-tempat menarik dengan kos berpatutan.

“Keunikan bentuk muka bumi, landskap yang menarik, tarikan alam semula jadi dan sempadan yang memisahkan Malaysia-Thailand merupakan antara faktor tarikan utama negeri ini,” titah baginda

Oleh itu, titah baginda, usaha mempromosikan Perlis perlu dilipat gandakan terutamanya di Thailand bagi menarik kehadiran pelancong khususnya dari wilayah selatan negara berkenaan.

“Usaha ini akan merancakkan dan memeriahkan lagi penganjuran TMP2024/2025 khususnya dengan kadar mata wang negara berkenaan yang kuat kebelakangan ini,” titah baginda. – HARAKAHDAILY 8/12/2023

- Advertisement -