Tambak laut Bandar XLV ambil kira Segenting Kra?

Tuan Guru Zulkifli Ismail
- Advertisement -

MELAKA: Ahli Parlimen Jasin, Tuan Guru Zulkifli Ismail mempersoalkan adakah projek mega tambakan laut di kawasan Bandar XLV, Daerah Melaka Tengah sudah mengambil kira perkembangan terkini di Thailand berkaitan cadangan pembinaan terusan di Segenting Kra di negara itu.

- Advertisement -

Beliau menzahirkan kebimbangan tentang masa depan cadangan projek tambakan itu yang melibatkan kawasan seluas 679.188 ekar di antara antara Klebang dengan Pantai Kundor yang kemungkinan besar tidak dapat mencapai matlamatnya yang akhirnya akan menjadi beban kepada rakyat.

“Dan saya sendiri pun mencadangkan projek ini dibatalkan kerana projek ini projek yang tidak mempunyai masa depan, lantaran saya menyebut mengenai rancangan daripada Thailand untuk membuat terusan atau pun jambatan darat yang Perdana Menteri sendiri pun sudah memberi isyarat menyetujui projek tersebut.

“Oleh sebab itu saya bertanya apakah Kerajaan Negeri Melaka ketika memutuskan pada tahun 2021 projek ini, dan pada hari ini dengan perkembangan di Thailand telah mengambil perkembangan ini di dalam pertimbangan mereka untuk meneruskan projek ini ataupun tidak?” soalnya.

Beliau berpandangan bahawa sebaik-baiknya projek ini dibatalkan kerana sekiranya Terusan Segenting Kra benar-benar direalisasikan ia akan memberi kesan kepada aktiviti maritim di Selat Melaka yang akan menjejaskan keberuntungan projek tambakan tersebut.

“Dan ini akan menyebabkan aktiviti dan gerak kerja di pelabuhan juga akan terjejas. Dan saya bimbang bahawa akhirnya pulangan keuntungan yang dihasratkan memberi manfaat dan faedah kepada kerajaan negeri dan rakyat Negeri Melaka tidak dapat dicapai.

“Maka pada ketika itu kita akan menghadapi banyak masalah yang lain yang merupakan susulan daripada kegagalan untuk kita mencapai matlamat,” ujarnya kepada Harakahdaily ketika ditemui di majlis dialog berkaitan projek itu yang berlangsung di Dewan Swan Garden Hotel Melaka, di sini, hari ini.

Tuan Guru Zulkifli yang juga Pesuruhjaya PAS Melaka menambah, berdasarkan penerangan yang diberikan, beliau mengakui projek itu adalah sebuah projek yang sangat besar.

“Dan impaknya juga adalah juga satu impak yang akan memberikan kesan jangka panjang kepada negeri kita. Seperti yang mereka sendiri sebut, ini sebagai game changer.

“Cuma daripada apa yang telah disampaikan oleh mereka yang menyuarakan rasa tidak puas hati, cukup jelas bahawa boleh dikatakan 99 peratus itu menolak projek ini,” ujarnya.

Ini, katanya bersesuaian dengan ungkapan yang diberikan oleh salah seorang peserta dialog yang menyifatkan projek ini sebagai ‘sebelum kita berjalan kita sudah hendak melompat’.

“Yang saya nak sebut bahawa projek ini, pembangunan negeri mesti berdasarkan kepada pendekatan yang disebut maqasid syariah, dan mesti berdasarkan kepada demand dan keperluan ataupun ukur baju dibanding sendiri.

“Supaya ia tidak memberi kesan negatif yang memberikan kerugian yang besar kepada rakyat itu saja,” ujarnya lagi.

Program dialog awam tersebut adalah salah satu keperluan dalam proses kelulusan ‘Penilaian Impak Alam Sekitar’ (EIA) melibatkan komuniti yang terlibat sebagai pemegang taruh di dalam projek tersebut.

Turut hadir dalam majlis dialog itu ialah ADUN Bemban yang juga Pengerusi Perikatan Nasional Melaka, Dr Mohd Yadzil Yaakub, Timbalan Pesuruhjaya PAS Melaka, Ustaz Imran Abdul Rahman, Pengerusi Lajnah Alam Sekitar PAS Melaka, Jamarudin Ahmad dan Setiausaha Perhubungan PAS Melaka, Asri Shaik Abdul Aziz.

Wakil daripada Syarikat perunding Asia Pacific Environmental Consultant Sdn Bhd (ASPEC) yang dilantik oleh pemaju projek Leaptec Engineering Sdn Bhd, hadir memberikan penerangan dalam program dialog itu. – HARAKAHDAILY 7/12/2023

- Advertisement -