Tambak laut: PN ikrar perjuang nasib penduduk

Dr Mohd Yadzil Yaakub
- Advertisement -

MELAKA: Ketua Pembangkang di Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka, Dr Mohd Yadzil Yaakub berikrar untuk memperjuangkan nasib penduduk yang terlibat dalam cadangan projek tambakan laut di kawasan Bandar XLV, Daerah Melaka Tengah.

- Advertisement -

Beliau turut menzahirkan kekesalan terhadap pemimpin-pemimpin Pakatan Harapan (PH) yang dilihat tidak bersuara dalam isu itu yang melibatkan kepentingan rakyat di kawasan-kawasan yang terlibat setelah bersama BN dalam Kerajaan Perpaduan.

“Dan saya sangat berharap penduduk di kawasan ni bersatu. Dan saya sendiri sebagai ketua pembangkang dan check and balance kepada kerajaan sanggup bekerjasama dengan penduduk untuk kita tentang penambakan laut ni,” katanya.

Beliau yang juga Pengerusi PERIKATAN NASIONAL Negeri Melaka berkata demikian kepada Harakahdaily sesuai majlis dialog awam berkaitan isu ini yang berlangsung di Dewan Swan Garden Hotel Melaka, di sini, hari ini.

Tambah Dr Yadzil, projek itu perlu dilihat semula kerana ia hakikatnya tidak mendatangkan keuntungan kepada rakyat Melaka walaupun ia sebuah projek mega.

“Sebenarnya banyak hal-hal lain yang orang kata terkait dengan hal ni. Belum lagi kita kaitkan dengan infra-infra yang akan dibuat, kalau betul ada pelabuhan terbaru. Sebab kita dengar katanya akan ada dua pelabuhan baru, yang saya dengar-dengar sekarang, ditambah dengan ada dua pelabuhan yang yang telah ada sekarang.

“Pelabuhan yang ada sekarang pun saya dapat info pun belum cukup utilize, belum dapat digunakan sepenuhnya, nak buat lagi satu pelabuhan baru. Ini orang kata satu benda pembaziranlah,” ujar beliau lagi.

Tambah Dr Yadzil, walaupun banyak pelaburan akan masuk melalui projek ini namun ia dilihat hanya mendatangkan keuntungan kepada kerajaan negeri semata-mata.

“Seperti yang saya maklumkan di dalam dewan itu tadi, kalau keuntungan yang diperolehi oleh kerajaan negeri dapat digunakan dengan baik, oleh kerajaan yang baik, yang prihatin kepada rakyat, alhamdulillah.

“Tetapi kalau keuntungan yang diterima itu diperolehi oleh kerajaan yang tidak mementingkan rakyat, tidak prihatin kepada rakyat, akhirnya akan rugi, akan sia-sia juga, akan hanya menguntungkan puak-puak tertentu sahaja. Inilah yang saya bangkitkan,” ujar beliau.

Beliau juga bersetuju dengan pendapat yang dikemukakan oleh salah seorang penduduk yang terlibat dalam dialog tersebut bahawa Melaka tidak memerlukan tambakan tanah kerana masih banyak tanah kosong di negeri ini.

“Tidak seperti Singapura yang telah penuh, tak dapat tempat untuk membangunkan lagi, tidak seperti Melaka yang masih ada ruang-ruang untuk dibangunkan lagi,” ujarnya.

Program dialog awam tersebut adalah salah satu keperluan dalam proses kelulusan ‘Penilaian Impak Alam Sekitar’ (EIA) melibatkan komuniti yang terlibat sebagai pemegang taruh di dalam projek tersebut yang melibatkan kawasan seluas 679.188 ekar di antara antara Klebang dengan Pantai Kundor.

Turut hadir dalam majlis dialog itu ialah Ahli Parlimen Jasin yang juga Pesuruhjaya PAS Melaka, Tuan Guru Zulkifli Ismail dan timbalannya, Ustaz Imran Abdul Rahman serta Pengerusi Lajnah Alam Sekitar PAS negeri, Jamaruddin Ahmad.

Wakil daripada Syarikat perunding Asia Pacific Environmental Consultant Sdn Bhd (ASPEC) yang dilantik oleh pemaju projek Leaptec Engineering Sdn Bhd, hadir memberikan penerangan dalam program dialog itu. – HARAKAHDAILY 7/12/2023

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

- Advertisement -