Kedah teliti premis beroperasi secara tidak sah

Dr Haim Hilman Abdullah, (tengah) diberi taklimat oleh pihak berkuasa ketika lawatannya Selasa lalu ke lokasi kebakaran, di Bukit Selambau.
- Advertisement -

ALOR SETAR: Kerajaan negeri akan meneliti premis-premis yang beroperasi secara tidak sah dan tindakan wajar akan diambil bersabit kesalahan berkenaan.

- Advertisement -

Pengerusi Jawatankuasa Industri dan Pelaburan negeri, Dr Haim Hilman Abdullah berkata, kejadian kebakaran di kawasan perindustrian Bukit Selambau, Ahad lalu perlu diambil perhatian sewajarnya agar tidak berulang pada masa hadapan.

Menurutnya lagi, kebakaran yang melibatkan dua gudang milik sebuah syarikat didapati beroperasi secara tidak sah serta tidak mempunyai lesen perniagaan daripada Majlis
Perbandaran Sungai Petani (MPSPK).

Malah, jelasnya lagi, tidak pernah dirujuk dan mendapat kelulusan daripada Jabatan Alam Sekitar (JAS).

“Kerajaan negeri mengambil serius akan perkara ini dan akan mengambil tindakan sewajarnya serta meneliti premis-premis yang beroperasi secara tidak sah. Tindakan pemutihan akan diambil,” kata beliau pada satu kenyataan, di sini, hari ini.

Pada malam 3 Disember lalu, sebuah gudang yang menjalankan aktiviti berkaitan bahan terpakai logam, wayar dan perkakas elektronik di kawasan perindustrian Bukit Selambau, terbakar.

Gudang berkenaan adalah milik dua syarikat asing yang beroperasi tanpa lesen yang sah dari MPSPK serta kebenaran JAS.

Operasi pemadaman kebakaran selesai sepenuhnya pada 12 tengah malam, semalam dan tiada kemalangan jiwa berlaku.

Mengulas lanjut, katanya, punca kebakaran masih dalam siasatan pihak berkuasa.

Dalam pada itu, Haim telahpun melakukan lawatan ke tempat kejadian pada Selasa (5 Disember) lalu dan mendapat laporan awal berkenaannya.

“Tindakan susulan dari kerajaan negeri akan diambil sebaik sahaja siasatan pihak Bomba dan JAS selesai dijalankan,” tambahnya lagi. – HARAKAHDAILY 7/12/2023

- Advertisement -