DAP akan menang 63 kerusi PRU16, dominasi Parlimen

Umno mesti berperanan halang persempadanan semula secara terpilih

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: DAP akan boleh menang dengan selesa ke atas 63 kerusi Parlimen pada PRU16 sekiranya berlaku persempadanan semula secara terpilih, demikian kata Presiden BERJASA, Ustaz Zamani Ibrahim.

Menurutnya, idea daripada DAP itu disebut ‘terpilih’ kerana akan melibatkan kawasan-kawasan bandar yang padat penduduk di mana terdapat 29 kawasan Parlimen seperti itu di seluruh negara.

Jelas beliau, sekiranya persempadanan semula secara terpilih tersebut dilaksanakan di 29 kawasan Parlimen itu, akan timbul 30 kawasan Parlimen baharu hasil pecahan kepada 70,000 pengundi bagi setiap Parlimen.

Beritahunya, pada ketika ini iaitu hasil keputusan pada PRU15 lalu, daripada 29 kerusi Parlimen tersebut, terdapat 11 kawasan seperti itu sudahpun dikuasai DAP, 14 lagi daripada PKR dan empat lagi oleh PAN. 

“Jadi bermakna daripada 29 kawasan (Parlimen) bandar ini, bila dipecahkan setiap 70,000 (pengundi) itu seorang wakil rakyat, maka akan lahirlah nanti (tambahan) 30 kawasan (Parlimen) baharu. 

“(Sebanyak) 23 dari 30 (kerusi) itu akan didominasi dimiliki oleh DAP. Jadi bermakna sekarang DAP di Parlimen ada 40 (kerusi), PRU16 nanti tambah 23 bermakna DAP akan menang selesa pada PRU16 sebanyak 63 kerusi Parlimen,” ujarnya dalam hantaran di akaun TikTok beliau.

Katanya, ketika itu sudah terlambat bagi Malaysia walaupun ada Perlembagaan dan sebagainya termasuk para pemimpin Islam, tetapi Melayu dalam Parlimen sudah menjadi minoriti. 

Menurut beliau, DAP akan menjadi penentu kepada corak dan langkah politik akan datang yang sepatutnya bimbang dan dengan sebab itu idea sempadan semula ini perlu dihalang dan disekat dari sekarang.

“Siapakah orang yang layak? Yang mampu, yang tepat pada masanya, tepat pada peranannya untuk menggagalkan perancangan persempadanan semula secara terpilih ini? Tidak lain tidak bukan ialah Umno. 

“Umno ada 26 kerusi daripada 30 dalam BN itu sendiri. Apabila telah pun dibuat satu kertas kerja dan melalui proses-proses kepada Yang di-Pertuan Agong, tapi (kemudiannya) akan melalui satu proses dibincangkan dalam Parlimen.

“Untuk meluluskan strategi, persempadanan semula akan dibincangkan oleh Parlimen. Apabila dua pertiga (majoriti) di Parlimen menyetujuinya, maka ia akan terlaksana. Jadi bagi saya untuk menggagalkan pelaksana persempadanan ini Umno-lah,” ujarnya.

Desaknya, Umno sepatutnya berperanan untuk menggagalkan perancangan tersebut, tetapi jika Umno gagal untuk menyekat perancang ini, maka parti itu adalah pengkhianat kepada kuasa orang Melayu yang hancur di negara ini.

“Sebab 63 Parlimen yang akan dimiliki oleh DAP pada PRU16 bukan angka yang kecil, ia angka yang besar dan waktu itu kita sudah terlambat. Ingat persempadanan semula ini sedikit lagi hendak berjaya. Kita bukan ada masa yang lama. 

“Dia akan berjaya kalau sekiranya Umno menjadi penyokong dan boleh ditunggang oleh DAP bagi menjayakan perancangan persempadanan semula ini. Saya tekankan lagi sekali bahawasanya Umno mesti menjadi penghalang utama.

“Umno mesti menggagalkan persempadanan semula itu daripada Parlimen yang boleh mencapai dua pertiga. Ini peranan yang penting untuk Umno dan kalau Umno tidak memainkan peranan maka Umno adalah parti pengkhianat yang utama sepanjang zaman,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 7/12/2023

- Advertisement -
- Advertisement -