Persempadanan semula terpilih, jerat buat Umno

Taktik terbaharu Pakatan Harapan?

- Advertisement -

AKU terkejut bila DAP cadang dalam Parlimen supaya Kerajaan Madani melantik Datuk S. Ambiga sebagai Pengerusi SPR. Umum tahu kecenderungan Datuk S. Ambiga adalah kepada Pakatan Harapan (PH). 

Untuk pengetahuan kau orang ini adalah solusi PH kepada masalah sokongan pengundi Melayu yang sekarang sudah mencecah 75 peratus menyokong PN. 

Kalau tiada tindakan dibuat segera dan sekiranya kerajaan ni sampai ke PRU16, Umno dijangka akan kehilangan 20 daripada 26 kerusi yang mereka ada sekarang. Senang cerita Umno akan terkubur tanpa batu nisan. 

Jadi solusi kepada masalah ini adalah PH akan buat persempadanan semula terpilih (selected re-delineation). Dengan 5 orang Ahli Parlimen PN yang menyokong Kerajaan Madani, maka Kerajaan Madani dah ada 2/3 sokongan dan boleh mulakan proses ini untuk mencairkan sokongan pengundi Melayu kepada PN. 

Apa itu persempadanan semula terpilih? Parti pemerintah akan memilih kerusi yang akan memberikan kekuatan tambahan kepada mereka sahaja untuk dipecahkan. Kerusi majoriti Melayu milik PN akan dikekalkan sahaja. 

Untuk pengetahuan kau orang, pecahan kekuatan di Parlimen mengikut gabungan sekarang adalah seperti berikut:

PH: 81 (36.49 peratus).
BN: 30 (13.51 peratus).
GPS + GRS: 29 (13.06 peratus).
PN: 70 (31.53 peratus).

Kerusi Parlimen yang mempunyai lebih 120,000 pengundi untuk parti dalam Kerajaan Madani pula adalah seperti berikut:

PH – 29.
BN – 1.

Bayangkan dengan melaksanakan agenda persempadanan semula terpilih hanya di kerusi yang dimenangi oleh PH dan BN sahaja, maka mereka boleh menambah kerusi seperti berikut.

PH – 29 + 30 (Parlimen Bangi dipecahkan kepada 3 kerusi).
BN – 1 +1.

Maka jumlah kerusi baru adalah 31 buah kerusi menjadikan jumlah kerusi Parlimen adalah 253. 

Mengambil kiraan mudah, dan faktor gerrymandering yang boleh dilaksanakan oleh PH iaitu pengundi Melayu dipecahkan ke dalam kerusi bukan-Melayu, maka kerusi tambahan tadi akan turut dimenangi oleh PH dan BN. 

Jadi kerusi tambahan dan peratus kekuatan parti dalam Kerajaan Madani selepas persempadanan semula terpilih ini adalah seperti berikut:

PH: 110 (43.48 peratus).
BN: 31 (12.25 peratus).
GPS + GRS: 29 (11.46 peratus).
PN: 70 (27.67 peratus).

Apa kesannya?

PH sudah memiliki kekuatan sebanyak 110 kerusi atau 43.48 peratus dalam Parlimen. PH hanya memerlukan 17 sahaja kerusi tambahan daripada GPS dan GRS dan boleh membentuk kerajaan dengan majoriti mudah. 

Ketika itu, PH sudah tidak memerlukan BN dalam kerajaan. Itulah agenda DAP yang tidak disedari oleh pemimpin BN, untuk PH memerintah bersendirian. 

Kerusi tambahan yang akan dibentuk melalui proses persempadanan semula terpilih ini nanti dianggarkan adalah sebanyak 25 buah kerusi majoriti bukan Melayu dan hanya 6 kerusi majoriti Melayu. 

Maka Kerajaan yang dibentuk di peringkat persekutuan akan menjadi kerajaan yang didominasi bukan Melayu Islam. 

Aku bukan nak menimbulkan keresahan mana-mana pihak, tapi semua rakyat Melayu Islam perlu ada rasa bimbang dengan agenda halus ini. 

Lebih-lebih lagi apabila Lim Kit Siang ada membuat hantaran Facebook bercakap mengenai Malaysia mempunyai Perdana Menteri bukan Islam. Ini juga adalah sebahagian dari Agenda Malaysian Malaysia DAP. 

Keberadaan Umno dalam Kerajaan Madani dan bersama DAP juga sudah mendapat isyarat penolakan yang sangat jelas dari akar umbi Umno dan pengundi Melayu Islam. 

Malah ia sangat merugikan Umno itu sendiri. Bak kata pepatah, ‘untung secupak rugi segantang’, ‘penny wise, pound foolish’. 

Aku harap pemimpin melayu Umno akan membuka mata dan melihat realiti. Jangan mabuk kuasa yang sementara tetapi menggadaikan kekuatan politik Melayu Islam. 

Bangkitlah dari lena wahai Umno! 

NURUL ISLAM MOHAMED YUSOFF
Penganalisis Politik Malaysia – HARAKAHDAILY 6/12/2023

Sumber Asal: https://www.facebook.com/100064826199773/posts/pfbid02RfNXz4ba2f9heioFka7dzGd6cYsX2JPzdZJnbe7VeH2r1hGoNpqEEBZBHe2wRmPul/?mibextid=CDWPTG 

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS.

- Advertisement -
- Advertisement -