Dialog muafakat Pemuda PAS dan penganut Shirdi Sai Baba

- Advertisement -

BARU-baru ini saya mengikuti program dialog harmoni anjuran Pemuda Tebrau bersama Persatuan Komuniti Shirdi Sai Baba di Taman Daya. Suatu pengalaman baru bagi saya mengikuti dan diberikan penerangan mengenai aliran Shirdi Sai Baba dalam anutan agama Hindu.

Beberapa perkara menarik yang saya kagum dan mungkin boleh kongsikan di sini:

1. Aliran Shirdi Sai Baba ini amat menitikberatkan soal menjaga keharmonian sesama manusia walaupun berbeza warna kulit, bangsa dan agama. Perkara tersebut juga disebut di dalam agama Islam bahawa Islam menyeru umatnya untuk menjaga hubungan silaturrahim sesama manusia termasuk juga kepada non-Muslim

2. Sempat menanyakan pandangan tok sami berkenaan pandangan beliau terhadap kegiatan judi dan arak. Beliau juga menyatakan bahawa ajaran mereka tidak menggalakkan amalan judi dan meminum arak kepada penganut ajaran ini dengan menyatakan bahawa amalan-amalan tersebut akan membawa kepada mudarat yang lebih teruk kepada manusia.

3. Sami juga berkongsi berkenaan soal perpaduan masyarakat masa kini kerana masyarakat muda pada masa ini baik kaum Melayu, Cina dan India susah untuk duduk makan bersama, berkongsi cerita sama-sama dan sebagainya kerana masyarakat muda kita ini semakin jauh dalam mempraktikkan nilai ajaran atau agama dalam kehidupan mereka sehingga nilai hormat dan toleransi semakin pudar dalam ruang lingkup sosial komuniti kita.

Saya berfikir sejenak mengapa masyarakat ketika zaman datuk atau ayah kita masih kecil, mereka boleh melakukan semua perkara dalam masyarakat bersama tanpa sebarang persepsi mahupun pandangan yang negatif?

Daripada pertemuan bersama mereka di Tebrau, saya melihat bahawa untuk membina komuniti yang harmoni, baik dan nilai toleransi yang tinggi, masyarakat kita baik Muslim, yang beragama Hindu mahupun Buddha perlu kembali kepada pegangan agama dan ajaran masing-masing serta mempraktikkan dengan kefahaman yang baik sepanjang kehidupan kita kerana rata-rata ajaran dan agama yang ada ini bertujuan untuk membentuk hati dan pemikiran manusia menjadi seorang insan yang baik, berakhlak mulia serta berbaik-baik sesama manusia.

Ayuh kita sama-sama bina jalinan yang harmoni antara kita semua kerana masyarakat yang baik akan memberikan manfaat yang pelbagai kepada semua.

“Generasi Sejahtera, Mengisi Kemenangan”

LAJNAH PERPADUAN NASIONAL
Dewan Pemuda PAS Negeri Johor – HARAKAHDAILY 6/12/2023

- Advertisement -
- Advertisement -