
MANILA: Sebuah bas di Filipina yang membawa berpuluh-puluh penumpang terjatuh dari tebing ke dalam gaung di wilayah tengah Antique, mengorbankan sekurang-kurangnya 16 orang.
Gabenor Antique, Rhodora Cadiao pada hari ini, Rabu (6 Dis) berkata, lapan mangsa berada dalam keadaan kritikal di hospital manakala empat lagi stabil, lapor stesen radio DZRH, lapor Reuters.
“Jumlah kematian yang disahkan adalah lebih rendah daripada 28 yang dilaporkan sebelum ini di media tempatan.
“Bas penumpang dari wilayah Iloilo itu sedang dalam perjalanan ke bandar Culasi di Antique pada petang Selasa apabila breknya tidak berfungsi di jalan berliku dan ia terjunam ke bawah 30m ke dalam gaung,” katanya.
“Kami memanggil kawasan itu selekoh pembunuh. Ia sudah menjadi bas kedua yang jatuh di sana,” tambahnya.
Kenyataan kerajaan wilayah Antique di Facebook berkata, operasi pencarian mangsa telah dihentikan selepas semua mayat yang kelihatan di lokasi kejadian telah ditemui.
“Jumlah penumpang, yang dianggarkan 53 orang, masih belum dapat disahkan,” ujar kenyataan itu.
Filipina sebelum ini terkenal dengan peraturan longgar mengenai pengangkutan awam dan jalan raya yang tidak diselenggara dengan baik. – HARAKAHDAILY 6/12/2023
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!