‘Anti-Zionis adalah antisemitik’ resolusi ‘berbahaya’ AS

- Advertisement -

Penyokong hak Palestin telah mengecam resolusi kongres yang menyamakan anti-Zionis dengan anti-Semitik, menyebutnya sebagai langkah ‘berbahaya’ yang bertujuan untuk mengekang kebebasan bersuara dan mengalih perhatian daripada serangan genosid Israel di Gaza.

Dewan Perwakilan yang dikawal Republikan meluluskan langkah itu pada hari Selasa dalam undian 311-14, yang meyaksikan 92 ahli Demokrat berkecuali mengundi ‘hadir’.

Resolusi simbolik itu dirangka sebagai usaha untuk menolak ‘peningkatan drastik anti-Semitisme di Amerika Syarikat dan di seluruh dunia’.

- Advertisement -

Namun  ia mengandungi bahasa yang mengatakan bahawa Dewan AS ‘dengan jelas dan tegas menyatakan bahawa anti-Zionis adalah antisemitik’ . 

Ia juga mengutuk slogan ‘Dari Sungai ke Laut’, yang difahamkan oleh penyokong hak  sebagai seruan aspirasi untuk kesaksamaan di Palestin yang bersejarah.

Sebaliknya, resolusi itu menyifatkan slogan itu sebagai ‘seruan untuk penghapusan Israel dan orang Yahudi’. 

Resolusi itu juga mencirikan penunjuk perasaan yang berkumpul di Washington, DC, pada bulan lalu untuk menuntut gencatan senjata sebagai ‘perusuh’ yang dilabelkan sebagai ‘memuntahkan bahasa kebencian dan keji yang menguatkan tema antisemitik’. 

Pejuang hak Palestin dituduh taksub

Sehubungan itu, penganjur dengan Rangkaian Komuniti Palestin AS (USPCN), Husam Marajda berkata, resolusi itu adalah usaha AS untuk ‘membatalkan’ penyokong hak Palestin dengan menuduh mereka taksub dan melabelkan kritikan mereka terhadap dasar Israel sebagai ucapan kebencian.

“Ia sangat berbahaya. Ia bertujuan untuk melabelkan perjuangan pembebasan dan seruan kami untuk keadilan dan keamanan dan kesaksamaan bumi Palestin sebagai suatu jenayah,” kata Marajda kepada Al Jazeera.

Sedangkan zionisme ialah ideologi nasionalis yang membantu menubuhkan wilayah Israel pada tahun 1948. 

Ia berpendapat bahawa orang Yahudi mempunyai hak untuk menentukan nasib sendiri di Palestin yang bersejarah, yang dilihat oleh Zionis sebagai tanah air nenek moyang mereka.

Kebangkitan Zionisme pada akhir 1800-an adalah sebahagiannya sebagai tindak balas kepada anti-Semitisme di Eropah.

Namun, rakyat Palestin menolak Zionisme sebagai pendorong penjajahan peneroka yang merampas mereka semasa penubuhan Israel. 

‘Garis keras’ Zionis

Penubuhan Israel bertepatan dengan pemindahan ratusan ribu rakyat Palestin yang dihalau secara paksa dari rumah mereka dalam apa yang dikenali sebagai Nakba, perkataan Arab untuk ‘malapetaka’.

Walaupun rakyat Palestin melihat diri mereka sebagai orang asli di tanah itu, Zionis berkata orang Yahudi mempunyai tuntutan bersejarah dan alkitabiah terhadap apa yang kini dikenali sebagai Israel.

Beberapa ‘garis keras’ Zionis, termasuk anggota kerajaan Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu, yang berpendapat bahawa wilayah Palestin masa kini – Tebing Barat dan Gaza – juga milik Israel.

Dalam ucapan Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada Nov lalu, Netanyahu mengangkat peta Israel yang menunjukkan negara itu terbentang dari Sungai Jordan ke Laut Mediterranean, merangkumi Tebing Barat, Gaza dan Dataran Tinggi Golan Syria.

Sesetengah rakyat Palestin juga menyalahkan Zionisme atas penderaan Israel terhadap mereka, yang lebih merupakan apartheid, menurut kumpulan hak asasi manusia terkemuka antarabangsa seperti Amnesty International.

Di AS, penyokong hak asasi Palestin telah lama menolak percampuran Zionisme dengan Judaisme, dengan menyatakan bahawa ramai orang Yahudi-Amerika dikenal pasti sebagai anti-Zionis.

“Menentang dasar kerajaan Israel dan ekstremisme Netanyahu bukanlah antisemitsme. Bersuara untuk hak asasi manusia dan gencatan senjata untuk menyelamatkan nyawa tidak boleh dikecam,” kata Ahli Kongres Amerika-Palestin, Rashida Tlaib dalam catatan media sosial pada Selasa, menjelaskan undiannya menentang resolusi itu.

Marajda pula menegaskan bahawa rakyat Palestin mempunyai hak untuk menentang Zionisme, pendirian yang menurutnya tidak ada kaitan dengan prejudis.

“Resolusi ini mengatakan bahawa jika anda mengkritik kerajaan Israel ini, pada dasarnya anda membenci orang Yahudi,”  katanya. 

Resolusi itu adalah salah satu daripada beberapa usul pro-Israel yang diluluskan oleh Kongres sejak 7 Oktober. 

Yahudi Anti-Zionis

Kebanyakan penggubal undang-undang AS telah menyatakan sokongan tidak berbelah bahagi kepada Israel di tengah-tengah serangannya di Gaza, yang telah membunuh lebih 16,000 rakyat Palestin.

Yasmine Taeb, pengarah perundangan dan politik di MPower Change, sebuah kumpulan advokasi Muslim Amerika, menggelar resolusi itu “sangat berbahaya”.

“Ia secara tidak berbelah bahagi menyamakan sebarang kritikan terhadap kerajaan Israel dengan anti-Semitisme. Pada asasnya ia memburukkan berjuta-juta orang yang berdemonstrasi di seluruh dunia untuk menyokong gencatan senjata yang berkekalan, termasuk organisasi Yahudi-Amerika,” kata Taeb kepada Al Jazeera.

Kumpulan advokasi Jewish Voice for Peace (JVP) juga turut dengan tekad dan nekad mengecam langkah kongres AS mengenai resolusi itu.

“Menyatakan secara palsu bahawa anti-Zionis adalah antisemitik menggabungkan semua orang Yahudi dengan negara Israel dan membahayakan masyarakat kita. Ia menyemarakkan keganasan maut dan kempen penapisan terhadap rakyat Palestin,” kata JVP Action dalam catatan media sosial.

“Kami bangga dengan Yahudi anti-Zionis. Kami enggan mengadu komuniti antara satu sama lain,” katanya.  HARAKAHDAILY 6/12/2023

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!