Raja Muda Selangor lawat Kampung Nelayan Warna Warni

- Advertisement -

KUALA PERLIS: Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah Al-Haj menzahirkan keterujaan ketika melawat Projek Diraja Program Transformasi Kampung Nelayan Warna Warni Seberang Ramai di sini, semalam.

Turut berangkat Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.

- Advertisement -

Perkampungan itu merupakan antara destinasi pelancongan popular di Perlis.

Keberangkatan baginda berdua disambut Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), Mohd Nazim Mohd Noor serta Ketua Bahagian Pengurusan Zakat MAIPs, Syed Aisam Syed Idris Al-Habshe dan pemimpin masyarakat setempat.

Tengku Amir Shah meninjau keindahan kawasan tersebut. Baginda juga mendengar taklimat pelaksanaan program transformasi Kampung Warna Warni yang dilaksanakan bermula tahun 2020 ketika Covid-19 melanda dunia.

Transformasi perkampungan itu dilakukan MAIPs dan Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis dengan kerjasama pelbagai jabatan serta agensi kerajaan, swasta dan NGO.

Baginda turut berkenan menandatangani plak keberangkatan lawatan di ‘Rumah Selangor’ dan dipersembahkan Tengkolok ‘Putra Julang Darjat’ daripada MAIPs yang merupakan tengkolok rasmi Perlis.

Tuanku Raja Muda Selangor berada di Perlis bagi mengadakan kunjungan mengadap ke atas Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail dan Raja Perempuan Perlis, Tuanku Tengku Fauziah Almarhum Tengku Abdul Rashid. – HARAKAHDAILY 4/12/2023

.

- Advertisement -