Tengkujuh tidak halang peniaga di Rantau Panjang cari rezeki

- Advertisement -

RANTAU PANJANG: Kira-kira 60 peratus operasi perniagaan di kawasan bebas cukai Rantau Panjang masih berjalan seperti biasa biarpun kawasan rendah ditenggelami banjir.

- Advertisement -

Tinjauan ke pekan itu hari ini mendapati masih ramai peniaga menjalankan aktiviti perniagaan seperti biasa kerana jalan dari Pasir Mas ke Rantau Panjang belum ditenggelami air bah.

Seorang peniaga, Murni Abdul Rahman, 45, berkata, beliau masih membuka kedai jualan seperti biasa bahkan berharap orang ramai tidak khuatir sekiranya mahu datang membeli barangan di pekan itu.

“Alhamdulillah, walaupun telah masuk gelombang kedua, namun banjir kali ini masih membolehkan kita melakukan aktiviti perniagaan.

“Oleh itu, saya berharap agar orang ramai tidak takut untuk berkunjung ke sini kerana banjir hanya berlaku di kawasan rendah yang mana tidak membabitkan jalan utama,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Seorang lagi perniaga Zaihasrul Zakaria, 42, bersama isterinya Rohani Abdullah, 43, yang menjual sate ikan bakar tetap mengambil peluang menjalankan perniagaan biarpun air sungai dilaporkan meningkat.

Bagaimanapun katanya, beliau sentiasa bersiap sedia dengan sebarang kemungkinan sekiranya trend air banjir terus meningkat.

“InsyaAllah, kita harap banjir kali ini tidak seteruk seperti tahun lalu supaya kita semua dapat mencari rezeki,” katanya. – HARAKAHDAILY 3/12/2023

- Advertisement -