Rakyat tolak gabungan PH-BN, apatah lagi dinaungi DAP

Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi
- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Keputusan Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kemaman di luar jangkaan, kata Ketua Penerangan PAS Terengganu, Dr Ustaz Muhammad Khalil Abdul Hadi.

- Advertisement -

“Tetapi inilah kehendak pengundi yang mahu menyampaikan mesej khusus buat pemerintah di Putrajaya yang sehingga kini masih gagal membela nasib rakyat daripada tekanan ekonomi dan sosial,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, kemenangan itu juga boleh dirumuskan sebagai satu penolakan rakyat Terengganu terhadap gabungan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN), apatah lagi ia dinaungi DAP.

Katanya, jika PH-BN terus bersama, PAS Terengganu merasakan masa depan BN akan kelam di bumi Darul Iman berdasarkan gelombang penolakan rakyat kepada PH khususnya Datuk Seri Anwar Ibrahim dan DAP.

“Di samping itu, kejayaan besar ini semestinya cukup menggembirakan kita semua sebagai penyokong dan pendukung PAS dan PERIKATAN NASIONAL (PN), lebih-lebih bagi yang bertungkus lumus siang dan malam mengerah keringat demi memenangkan PAS-PN, tahniah dan terima kasih buat anda semua termasuk petugas dari negeri bantu,” katanya yang juga Exco kerajaan negeri.

Pada PRK Parlimen Kemaman semalam, calon PAS yang mewakili PN, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar menang dengan majoriti lebih besar iaitu 37,220 undi berbanding Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu,

Beliau memperolehi 64,998 undi menewaskan calon BN, Jeneral (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor yang mendapat 27,778 undi.

Pada PRU15 lalu, calon PAS, Che Alias Hamid memenangi kerusi Parlimen Kemaman dengan majoriti 27,179 undi apabila memperolehi 65,714 undi, menewaskan Dato’ Seri Ahmad Said (BN-Umno) yang mendapat 38,535 undi, Hasuni Sudin (PH-PKR – 8,340) dan Rosli Ab Ghani (Pejuang – 506).

Khalil menambah, kemenangan itu merupakan anugerah Allah yang perlu disyukuri dan diraikan dengan penuh tawaduk kepada Allah SWT.

“Justeru, raikanlah ia dengan berpada-pada, hindarilah daripada perkara yang boleh menimbulkan masalah kepada umum.

“Akhirnya, mewakili PAS Terengganu saya mengambil kesempatan mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua pengundi yang telah memberi kepercayaan kepada PAS-PN,” katanya lagi. – HARAKAHDAILY 3/12/2023

- Advertisement -