Nanti saya masuk parlimen dulu – Dr Samsuri

Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar bersama isteri selepas diisytiharkan memenangi PRK Parlimen Kemaman di Pusat Penjumlahan Rasmi Undi, Dewan Berlian Utama, Majlis Perbandaran Kemaman, malam tadi. (Foto: UPDI)
- Advertisement -

KEMAMAN: Isu yang bakal dibawa oleh calon PAS mewakili PERIKATAN NASIONAL (PN) Parlimen Kemaman, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar ke parlimen bukan sahaja berkait Kemaman bahkan juga negeri Terengganu.

- Advertisement -

Menurutnya yang memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kemaman semalam, perkara itu akan turut membantu ahli parlimen yang lain.

“Nanti saya masuk parlimen dulu. Insya-Allah ada perkara-perkara yang berkait dengan bukan sahaja parlimen Kemaman tapi negeri Terengganu sendiri.

“Sedikit sebanyak saya boleh membantu bersama dengan rakan-rakan ahli parlimen yang lain untuk kesejahteraan negara Malaysia, insya-Allah,” katanya kepada media di Pusat Penjumlahan Rasmi Undi di Dewan Berlian Utama Majlis Perbandaran Kemaman, di sini malam tadi.

Beliau memenangi PRK Parlimen Kemaman dengan majoriti 37,220 apabila memperoleh 64,998 undi menewaskan calon BN, Jeneral (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor yang mendapat 27,778 undi.

Ahmad Samsuri yang juga Menteri Besar menzahirkan ucapan terima kasih kepada semua pengundi di parlimen berkenaan.

“Saya mengambil kesempatan pada malam ini, pada malam pengumuman bagi pilihan raya kecil P.040 Kemaman untuk mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua pengundi-pengundi di parlimen Kemaman, kepada penduduk yang terpaksa berdepan dengan suasana pilihan raya selama dua minggu.

“Kepada semua jentera-jentera yang telah datang sama ada daripada jentera tempatan atau dari dalam negeri, seluruh jentera daripada PAS, Bersatu, Gerakan yang turut sama membantu untuk mencapai kemenangan dalam pilihan raya pada kali ini,” katanya.

Ditanya mengenai keputusan kemenangan besar yang diperolehinya petanda rakyat Terengganu menolak keras BN, kata beliau, ia boleh ditafsir dengan pelbagai perkara.

“Kita boleh tafsirkan begitu, saya tak nak pergi lebih jauh lagi, tapi semua pihak boleh membuat apa jua tafsiran.

“Saya tidak menolak kemungkinan begitu, itu salah satu sebab mungkin kita buat senarai bermacam-macam perkara yang timbul,” katanya yang juga Adun Ru Rendang.

PRK Kemaman diadakan susulan Mahkamah Pilihan Raya di Kuala Terengganu telah membenarkan Petisyen Pilihan Raya P.040 Kemaman dengan kos sebanyak RM30,000 pada 26 September lalu.

Hakim Pilihan Raya Datuk Anselm Charles Fernandis memutuskan sedemikian dan selanjutnya mengisytiharkan bahawa Che Alias Hamid telah dilapor pilih secara tidak sah sebagai Ahli Parlimen bagi Bahagian Pilihan Raya P.040 Kemaman pada 19 November 2022 lalu.

Pada Pilihan Raya Umum ke-15 lalu, Che Alias memenangi kerusi Parlimen Kemaman dengan majoriti 27,179 undi apabila memperolehi 65,714 undi, menewaskan Dato’ Seri Ahmad Said (BN-Umno) yang mendapat 38,535 undi, Hasuni Sudin (PH-PKR – 8,340) dan Rosli Ab Ghani (Pejuang – 506). – HARAKAHDAILY 3/12/2023

- Advertisement -