PM sebut di parlimen, saya terpaksa cerita di sini – Sanusi

Dato' Seri Muhammad Sanusi Md Nor
- Advertisement -

ALOR SETAR: Para pegawai lantikan politik tidak wajar masuk campur urusan kerajaan mahupun kementerian.

- Advertisement -

Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, perbuatan itu akan menyebabkan permusuhan dan pertelingkahan antara pemimpin negara dan negeri khususnya yang berlainan idelogi politik terus marak.

“Sebagai Menteri Besar saya rasa terhina dengan sikap para pegawai lantikan politik pejabat Perdana Menteri dan Kementerian Luar Negeri yang cuba bermain politik untuk memalukannya.

“Saya tidak akan menyerang Dato’ Seri Anwar Ibrahim kerana pada pandangan saya rundingan di Sadao tempoh hari beliau menunjukkan sikap sebagai Perdana Menteri,” kata beliau ketika menyampaikan ucapan penggulungan belanjawan negeri 2024 pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Wisma Darul Aman, petang semalam.

Jelas beliau, delegasi ke Sadao pada Isnin lalu adalah untuk membincangkan berkenaan jalan baharu (pintu masuk) ke selatan Thailand ekoran jalan yang sedia ada di Bukit Kayu Hitam mengalami kesesakan.

Justeru katanya sebagai ketua kepada negeri yang terlibat secara langsung dengan sempadan negara jiran itu, beliau menerima jemputan pada Sabtu lalu agar hadir bersama deligasi kerajaan persekutuan ke Sadao.

Jelasnya lagi, jemputan yang diurus antara para pegawai pejabat Perdana Menteri dan pejabatnya, mengikut SOP biasa diplomatik dalam hubungan antara kerajaan negeri dan persekutuan serta negara luar.

“Saya hadir sebagai Menteri Besar dan dalam jemputan itu disertakan jadual penuh delegasi bermula jam 10 pagi hingga 3.40 petang.

“Namun apabila sampai di lapangan terbang, perubahan dibuat oleh para pegawai Kementerian Luar Negeri yang difahamkan dari kalangan lantikan politik.

“Jadual telah disediakan oleh Pegawai Tadbir Diplomatik (PTD) tersusun dan cantik tetapi apabila berlaku campur tangan pegawai lantikan politik, jadilah yang tidak sepatutnya,” tambah Sanusi lagi.

Katanya lagi, beliau tidak disediakan tempat (kerusi) ketika pre-council di Raia Hotel sedangkan semua agensi yang dijemput perlu memberi input pada pertemuan bersama delegasi ke Thailand berkenaan.

“Semua agensi dijemput memberi input tapi kerusi untuk MB Kedah tak ada. Saya berdiri sahaja sehingga Perdana Menteri mengarahkan kerusi diberi kepada saya.

“Inilah permainan ‘Little Nepoleon’ yang memang dicatur pergerakannya supaya berlaku pertembungan serta pergaduhan tidak puas hati sesama pemimpin negara,” tambahnya lagi.

Beliau juga rasa terhina apabila dikatakan diberi makan tengah hari atas ehsan Perdana Menteri sedangkan semua yang terlibat dengan perbincangan itu dijemput makan bersama.

“Saya tidak mahu bangkitkan kisah ini tapi apabila Perdana Menteri sebut hal ini di parlimen, maka saya terpaksa ceritakan di sini.

“Saya juga beri ingatan kepada pegawai lantikan politik terbabit (melalui WhatsApp) yang bersikap ‘lebih sudu dari kuah’ agar tidak berulang perkara seperti itu pada masa akan datang. Jangan atur bagi bos berkelahi.

“Sebagai pegawai perlu usaha agar bos berbaik-baik. Baharulah kerajaan kita sejuk. Atur bagi berkelahi, sampai kiamat berkelahi,” tegas beliau.

Menurut Sanusi, lebih menjengkilkan apabila beliau dijadikan bahan di parlimen seolah-oleh beliau bodoh serta tidak tahu apa-apa dan hanya ikut orang lain semata-mata.

“Hina saya. Saya MB bukan sebagai Sanusi. Wakil negeri ini. Negeri ini (Kedah) ada kedaulatannya,” bidasnya lagi.

Sementara itu ujar beliau, Kedah mendahului kerajaan persekutuan menjemput pembangkang menyertai delegasi kerajaan ke luar negara.

Setahun lalu jelasnya, pihaknya menjemput wakil pembangkang untuk bersama lawatan kerja kerajaan negeri ke Surabaya, Indonesia.

Seperkara lagi, katanya, cadangan membina pintu masuk baharu antara Malaysia dan selatan Thailand melibatkan persempadanan Kedah bukannya Perlis atau Kelantan, malah tiada wilayah selatan negara itu yang bersambung dengan Wilayah Persekutuan.

Oleh itu, kerajaan persekutuan perlu menghormati bidang kuasa negeri melalui konsep faderalisme (hormat bidang kuasa masing-masing).

“Satu perkara lagi, Menteri Besar Perlis tidak bersama pada pertemuan itu sebagaimana ditularkan. Beliau tiada dalam negara kerana mengerjakan umrah di Mekah.

“Bincang pintu masuk baharu ke Thailand, perlu sembang dengan Kedah,” katanya lagi.

Justeru sidang DUN semalam melahirkan rasa dukacita dan tidak bersetuju atas perkara yang tidak sepatutnya dilakukan terhadap Menteri Besar dan menganggapnya sebagai satu penghinaan terhadapnya. – HARAKAHDAILY 30/11/2023

- Advertisement -