KUALA LUMPUR: Dato’ Mohd Suhaimi Abdullah (PN-Langkawi) menzahirkan rasa kesal kerana Rang Undang-Undang (RUU) Generasi Penamat Rokok (GEG) digugurkan.
RUU itu dikeluarkan dari pembentangan RUU Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2023 bernombor D.R. 25/2023 (DR25) oleh Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa yang berlangsung di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.
“Dan saya juga (telah) menyediakan ucapan saya ini dengan merasakan bahawa GEG dimasukkan dalam Rang Undang-undang ini. Rupa-rupanya (telah) dikeluarkan.
“Betul saya setuju, 222 orang (Ahli Parlimen) kita ini nak berbahas apa lagi kalau dah GEG dikeluarkan? Saya rasa ini tekanan daripada syarikat-syarikat rokok,” bahasnya..
Dalam perbahasan.Mohd Suhaimi turut menyifatkan RUU Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2023 yang dibentangkan itu merupakan versi yang dikemaskinikan.
“Ini merupakan percubaan ketiga Kementerian Kesihatan menggubal undang-undang mengenai vape dan rokok.
“Sebelum ini usaha kerajaan terdahulu memperkenalkan RUU Generasi Penamat Rokok (GEG) menemui jalan berliku setelah berlakunya perubahan kerajaan pada 2022,” ujarnya.
Beliau turut menamakan dua orang menteri yang kini masih berada dalam kabinet Kerajaan Madani dikatakan kuat menentang RUU tersebut berdasarkan pendedahan yang dibuat bekas Menteri di Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
“Apakah sebab-sebab ia dihalang? Mengapakah sesuatu undang-undang dengan tujuan baik ini banyak pula halangan yang di bawah kerajaan Madani pimpinan YAB Perdana Menteri? Saya ingat kita lebih suka orang bunuh diri.
“Tindakan kerajaan mengeluarkan tampalan cecair dan gel nikotin daripada Akta Racun 1952, walaupun dibantah ramai pakar, tetapi diteruskan oleh KKM,” tegas beliau.
Tambahnya, kerajaan Madani sebelum ini mengenakan duti eksais bermula 1 April lalu terhadap produk cecair bagi bagi rokok elektronik yang mengandungi nikotin.
“Ia dianggar mengutip RM2 bilion (cukai), tetapi apakah jumlah ini berbaloi dengan nilai rawatan yang akan diterima rakyat yang sakit akibat tidak sihat ini?
“Pada tahun 2020 kerajaan membelanjakan RM6.2 bilion bagi merawat pesakit merokok pada tahun 2020, berbanding kutipan cukai produk tembakau sebanyak RM3 bilion melalui siri pembentangan oleh KKM sendiri,” katanya. . – HARAKAHDAILY 29/11/2023
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!