KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan memperuntukkan RM22.97 juta bagi tujuan pelancongan dan kebudayaan menerusi Belanjawan 2024 sebagaimana yang telah dibentangkan dalam persidangan DUN baru-baru ini.
Menteri Besar, Dato’ Panglima Perang Ustaz Mohd Nassuruddin Daud, berkata sektor pelancongan antara penyumbang terpenting kepada ekonomi di Kelantan sebagaimana juga sektor lain seperti pengangkutan, peruncitan dan sebagainya.
Beliau memberitahu, kekuatan tarikan semula jadi yang ada di negeri ini, keagamaan, keindahan flora, makanan tradisi dan berbagai lagi akan menarik lebih ramai pelancong untuk berkunjung.
“Saya juga yakin, potensi Kelantan sebagai pelancongan Islam yang masih wujud pondok tradisi, medan ilmu, kuliah-kuliah mingguan agama, kekuatan Islam seperti sejarah Kampung Laut, akan melahirkan suasana berbeza,” ujarnya ketika berucap merasmikan majlis Prapelancaran Tahun Melawat Kelantan (TMK) 2024 di sebuah hotel, di sini petang semalam.
Bagi menjayakan program tersebut, beliau menyeru semua pihak terutama Kementeriaan Pelancongan, Seni dan Budaya untuk menyediakan pelbagai inisiatif serta mempromosikan TMK 2024.
Beliau turut mencadangkan strategi promosi sektor pelancongan juga perlu dipertingkatkan sebagai usaha menarik lebih ramai pelancong ke negara ini termasuk Kelantan.
“Saya berharap program-program yang dirancang bagi persediaan Tahun Melawat Kelantan 2024 mendapat kerjasama dengan khususnya Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) untuk menyediakan pelbagai inisiatif bagi mengangkat serta mempromosi Kelantan sebagai sebagai destinasi pelancongan utama negara.
“Kita juga perlu memperkasa strategi seperti mempromosikan sektor pelancongan secara professional, efektif dan berterusan bagi memenuhi kehendak dan citarasa pelancong antarabangsa dan domestik,” katanya lagi.
Tambahnya, di samping itu memperkukuhkan dan mempertingkatkan sistem penyampian perkhidmatan yang berkualiti bagi menjamin kepuasan pelancong dan kumpulan sasaran. – HARAKAHDAILY 30/11/2023
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!