Presiden Malawi dikecam eksport buruh ke Israel

Presiden Malawi, Lazarus Chakwera. (FOTO: Who Owns Africa)
- Advertisement -

LILONGWE, Malawi: Presiden Malawi, Lazarus Chakwera dikecam kerana merahsiakan keputusan kerajaannya menghantar kira-kira 221 orang muda bekerja di ladang-ladang di Israel.

Kumpulan anak-anak muda itu diterbangkan dengan pesawat Airbus A321-251 Israel semalaman pada Sabtu lalu telah menimbulkan kemarahan ramai rakyat Malawi. 

- Advertisement -

Langkah itu dikatakan menyusuli pakej bantuan AS$60 juta dari Israel ke Malawi dua minggu lalu.

Setiausaha Utama Kementerian Buruh Malawi, Wezi Kayira berkata, mengeksport buruh ke pelbagai negara, termasuk Israel, adalah satu cara untuk mewujudkan peluang pekerjaan untuk belia dan menjana pertukaran asing bagi negara Afrika tenggara itu, yang mempunyai populasi  seramai 20 juta orang.

“Program ini akan memberi manfaat kepada individu dan negara. Sebahagian daripada gaji  akan menampung kos sara hidup mereka di Israel manakala selebihnya akan dihantar ke akaun peribadi di Malawi untuk meningkatkan pertukaran asing,” kata Kayira dalam satu kenyataan yang dikongsi dengan Anadolu Agency.

Beliau juga menegaskan bahawa pemuda Malawi tidak akan terlibat dalam perang Israel ke atas Gaza tetapi ‘akan bekerja di lokasi yang diperakui dan diluluskan, yang diklasifikasikan sebagai persekitaran yang sesuai dan selamat’.

Urus niaga jahat

Semenara Pengerusi sebuah kumpulan hak sivil, Gabungan Pembela Hak Asasi Manusia, sebuah kumpulan hak sivil, Gift Trapence mempersoalkan kerahsiaan yang menyelubungi perjanjian eksport buruh dengan Israel.

“Kami mengecam kerajaan kerana merahsiakan perjanjian eksport buruh yang telah dimeterai dengan Israel. Tindakan kerajaan terhadap  eksport buruh ke Israel harus telus,” katanya.

Ketua pembangkang di parlimen Malawi, Kondwani Nankhumwa, yang pertama kali membangkitkan isu itu di parlimen pada Khamis lalu, memberitahu Anadolu Agency melalui telefon bahawa kerajaan negara itu memilih untuk merahsiakan perkara  itu kerana ia tahu ini adalah ‘urus niaga jahat’.

“Kerajaan telah membuat perjanjian sedemikian dengan syarikat-syarikat Israel apabila ia menyedari sepenuhnya bahawa terdapat peperangan. 

“Tiada ibu bapa yang waras mahu menghantar anaknya bekerja di negara yang sedang berperang,” kata Nankhumwa.

Terdahulu, Kementerian Pertanian Israel dalam rekodnya berkata bahawa antara 30,000 dan 40,000 pekerja telah meninggalkan ladang negara itu, separuh daripadanya adalah rakyat Palestin yang dilarang memasuki Israel dari Tebing Barat yang diduduki sejak serangan 7 Okt lalu.

Justeru, kerajaan Israel sedang mencari untuk mengambil kira-kira 5,000 pekerja dari negara-negara  lain, termasuk Malawi.  HARAKAHDAILY 27/11/2023

- Advertisement -