Projek Ladang Solar Terapung Tok Uban siap 97 peratus

- Advertisement -

KOTA BHARU: Projek Ladang Solar Terapung terbesar di Asia Tengggara di Danau Tok Uban sekarang masuk peringkat akhir termasuk fasa ujian dan pentauliahan.

- Advertisement -

Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Teknologi Hijau, Digital dan Inovasi negeri, Wan Roslan Wan Hamat berkata, tahap kemajuan projek berkenaan kini berada pada tahap 96.95 peratus.

“Kerja kerja pemasangan pulau solar 100 peratus siap termasuk pemasangan 247,680 pelampung, 247,680 panel solar, melabuhkan 6,180 batu sauh dan 20 kabin inverter.

“Selain itu juga pengujian dan pentauliahan ke atas sambungan elektrik di atas pulau telah mencapai 75 peratus.

“Manakala, kabel 33 kilo volt sepanjang 10 kilometer dari Kampung Chandan ke Fasiliti Elektrik di Bendang Nyior siap 100 peratus serta kerja-kerja di Fasiliti Elektrik Bendang Nyior sedang dilaksanakan.

“Dan dua menara besar kabel sepanjang 132 kilo volt telah siap didirikan dan dalam prose penyambungan,” katanya menjawab soalan Zuraidin Abdullah (PAS-Chetok) pada persidangan Dun hari ini.

Beliau berkata, memandangkan ia merupakan projek solar terapung terbesar di Asia Tengggara dan antara yang terbesar di dunia, maka banyak fasa pembelajaran yang perlu dilalui.

Menjawab soalan tambahan Mohd Syahbuddin Hashim (BN-Galas), Wan Roslan berkata, pembangunan projek akan memberi mendapat secara langsung dan tidak langsung.

Antara manfaat secara langsung sewa pajakan tanah merupakan sumber pendapatan baharu kerajaan negeri.

“Manakala bayaran lesen pengubahan sumber air dikenakan Jabatan Sumber Air Negeri berjumlah kira-kira RM240,000 setahun termasuk bayaran laluan kabel dari Danau Tok Uban ke Kabel TNB sepanjang 10 kilometer,” katanya.

Selain itu, bagi manfaat secara tidak langsung dapat menarik industri lain di kawasan Danau Tok Uban seperti industri pelancongan dan aktiviti-aktiviti ekonomi di sekitar.

“Dahulu kawasan itu agak terpencil dan hanya popular untuk aktiviti perikanan darat,” katanya. – HARAKAHDAILY 26/11/2023

- Advertisement -