‘Kalau ikut bicara di media memang hukuman beratlah’

Dato' Seri Muhammad Sanusi Md Nor
- Advertisement -

ALOR SETAR: Setiap pendakwaan perlu dibicarakan terlebih dahulu dan bukannya membuat hukuman awal mendahului keputusan mahkamah.

- Advertisement -

Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, mana-mana pihak mahupun individu tidak boleh dihukum bersalah selagi tidak dibuktikan mahkamah.

“Seseorang itu tidak bersalah, sebelum dibuktikan. Tunggu dan bicara di mahkamah dahulu.

“Kalau ikut bicara di media memang hukuman beratlah sebab pelbagai ulasan dibuat,” jelas beliau ketika ditemui di Wisma Darul Aman, semalam.

Sanusi berkata demikian sebagai respons kepada pertuduhan terhadap bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Perbadanan Menteri Besar (MBI) Kedah, Muhamad Sobri Osman, 63, dan bekas Setiausaha Politik (SetPol) Menteri Besar, Mohamad Hilmi Abdul Wahab, 50.

Isnin lalu, mereka berdua didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, selepas disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membabitkan kegiatan perlombangan nadir bumi (REE) di Kedah.

Sungguhpun begitu, Sanusi agak kesal kerana namanya turut ditulis dalam kertas pertuduhan membabitkan bekas setiausaha politiknya.

“Sepatutnya nama ‘Muhammad Sanusi Md Nor’ tidak ditulis dalam kertas pertuduhan itu kerana Mohamad Hilmi berkhidmat kepada ‘Menteri Besar Kedah’ dan bukannya kepada saya secara peribadi.

“Kenapa tulis nama saya dalam kertas pertuduhan? Saya tak ada sangkut paut, tengok kertas pertuduhan ada nama saya. Saya rasa ini pendakwaan bercenderungan politik,” tambahnya lagi.

Walau bagaimanapun katanya, kedua-dua yang dituduh berpeluang membersihkan nama di mahkamah selepas ini. – HARAKAHDAILY 23/11/2023

- Advertisement -