TG Abdul Hadi dedah ancaman terhadap kuasa politik Melayu

Presiden PAS kupasan perkara itu sejak sebelum merdeka hingga kini

- Advertisement -

KEMAMAN: Kedudukan politik orang Melayu dan umat Islam di negara ini sebenarnya telah berada dalam situasi dicabar dan sangat merbahaya sejak daripada usaha menuntut kemerdekaan daripada penjajahan British lagi.

Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang mengupas panjang kisah itu dalam Ceramah Perdana Perikatan Nasional (PN) sempena PRK P.040 Kemaman yang dilangsungkan di Dewan Sivik, Pekan Kijal, di sini malam tadi.

Cerita beliau, selepas Perang Dunia Kedua, tanah air ini telah diambil alih oleh British di mana telah membawa gagasan Malayan Union untuk menjadikan negara ini jajahan takluknya yang dihimpunkan pelbagai bangsa.

Namun katanya, orang Melayu bangkit berhimpun menentang Malayan Union tersebut pada tahun 1946 di negeri Johor yang melibatkan banyak pertubuhan-pertubuhan Melayu ketika itu.

Menurutnya, British ketika itu berusaha memujuk Umno kerana para pemimpin parti itu ramai menerima pendidikan atau bekerja dengan British yang menjanjikan kemerdekaan kepada Tanah Melayu.

Sedangkan ujar beliau, antara tujuan British juga adalah kerana mahu melibatkan rakyat negara ini dalam peperangan kuasa-kuasa besar yang membentuk blok Barat menentang Jerman, Jepun dan Itali.

Pun begitu katanya, apabila hendak diberi kemerdekaan, British merancang untuk tidak menyerahkan pemerintahan ditadbir oleh orang Islam sebagaimana dilakukan mereka membahagi-bahagikan negeri umat Islam.

“Indonesia di bawah Belanda, Malaysia bawah British. India bawah British. Mesir, negeri Teluk, Sudan bawah British. Utara Afrika bawah Perancis. Mereka bahagi-bahagikan. Mereka janji nak beri kemerdekaan. Tetapi kemerdekaan itu dirancang. 

“Bagi Tanah Melayu, mereka merancang bawa masuk pendatang-pendatang daripada kaum Cina, kononnya untuk bekerja di lombong dan lain-lain untuk buka bandar. Mereka jemput kaum Hindu-India, kerja di estet dengan jumlah yang besar. 

“Ini perancangan yang dibuat. Macam di Palestin-lah. British bawa masuk orang Yahudi masuk ke Palestin untuk nak singkirkan orang Arab. Macam Cyprus, British bawa orang Greece di Cyprus nak singkir orang Turki. 

“Ini agenda British dalam politik dia. Bagi Tanah Melayu dia bawa kaum Cina, kaum India. Kemudian kalau nak merdeka dia letak syarat mesti melaksanakan Jus Soli. Dengan makna memberi kerakyatan secara automatik kepada warga asing,” ceritanya.

Bagaimanapun terang beliau, para pemimpin Umno tidak bersetuju hinggakan ada yang bertindak keluar parti dan terbentuk juga ketika itu beberapa pertubuhan lain seperti Parti Negara dan PAS.

PAP cuba kuasai melalui DAP

Katanya, semasa Pilihan Raya (PRU) Pertama pada 27 Julai 1955, PAS bertanding 10 kerusi secara berasingan daripada Umno yang bergabung dengan MCA dan MIC membentuk Perikatan merebut 52 kerusi Parlimen ketika itu. 

PAS beritahu beliau, telah menang satu kerusi iaitu Parlimen Kerian Laut di Perak menerusi calonnya, Tuan Guru Haji Ahmad Tuan Husein, manakala Perikatan menang 51 kerusi lainnya.

“Maka mereka berjaya membentuk kerajaan pra-kemerdekaan. Bila mengundi dalam Parlimen maka syarat Jus Soli menerima orang bukan-Islam jadi rakyat (diundi) menang. Maka merdekalah negara dalam keadaan menerima Jus Soli.

“Belum merdeka orang Melayu-Islam 80 peratus yang jadi rakyat. Orang bukan-Islam 20 peratus saja jadi rakyat. Bila sudah merdeka, beri kerakyatan pada orang Cina, orang India, jadi orang Melayu 60 peratus, bukan-Islam 40 peratus. Jadi macam itu.

“Maka berlakulah pertembungan PAS dengan Umno berlawan disebabkan isu Jus Soli ini,” ujarnya memberitahu desakan Ahli Parlimen PAS dan Umno setelah itu mendesak usaha ke arah kemerdekaan.

Menurut Tuan Guru, Suruhanjaya Lord Reid ditubuhkan ketika itu dianggotai hakim daripada Australia, New Zealand, India dan Pakistan tanpa ada seorangpun wakil Tanah Melayu bagi merangka kemerdekaan.

Jelas beliau, draf Perlembagaan yang dibuat juga tidak meletakkan Islam di dalamnya, termasuk tiada perkara berkaitan pembelaan Melayu menyebabkan PAS dan Umno membuat memorandum.

“Desak supaya diletakkan Islam dalam Perlembagaan. Bahasa Melayu jadi bahasa kebangsaan. Hak istimewa Bumiputera dan orang Melayu minta diletak dalam Perlembagaan. 

“Agama-agama lain diberi hak kebebasan tak ganggu agama lain,” ujarnya menyambung kisah hingga pembentukan Malaysia tahun 1963 melibatkan sama Sabah, Sarawak dan Singapura kecuali Brunei.

Keadaan tersebut katanya, sangat mencabar kerana menjadikan jumlah orang Melayu-Islam dan bukan-Islam sama banyak di mana keadaan sangat bahaya itu dapat dilihat dalam keputusan PRU 1964 dan PRU 1969.

Jelas beliau, Pulau Pinang, Perak, Selangor dan Negeri Sembilan lebih dikuasai parti Cina hingga terjadilah rusuhan 13 Mei 1969 setelah orang Cina menunjuk megah berarak di jalan raya mengangkat penyapu dan sepanduk.

Perkara itu ujarnya, menaikkan kemarahan orang Melayu di mana rusuhan selama 13 hari itu akhirnya dapat ditangani keadaannya oleh polis dan askar Melayu sebelum darurat diisytiharkan.

Ceritanya lagi, Tun Dr Mahathir Mohamad ketika itu sebagai Ahli Parlimen Umno Kota Setar Selatan telah menulis surat mengecam Tunku Abdul Rahman Putra kerana isu Jus Soli itu hingga dia dipecat parti.

Tunku juga beritahunya, bertindak mengeluarkan Singapura daripada Malaysia dalam usaha mengimbangkan jumlah orang Islam, namun PAP yang menguasai Singapura telahpun menubuhkan cawangan-cawangannya di Tanah Melayu. PAP nak menguasai. 

“Bila Singapura keluar Malaysia, PAP tukar nama DAP. DAP itu parti Singapura sebenarnya. Ni kena ingat, parti Singapura. PAP keluar, tak apalah. DAP berjuang berasingan dengan Singapura. Tapi ada agenda dia, ada perjuangan dia,” dedahnya.

Hilang majoriti, kuasa pinda Perlembagaan

Menurut beliau lagi, setelah Mahathir dipecat, beliau naik pentas PAS untuk berceramah, sebelum Tun Abdul Razak Hussein mengajak PAS masuk kerajaan bagi mententeramkan politik.

“(PAS letak) tiga syarat. Yang pertama PAS menjadi gabungan dalam kerajaan bukan anggota Perikatan, di luar Perikatan. PAS boleh membangkang kerajaan. Tak jadi salah. Tak terikat dengan disiplin.

“(Boleh) melaksanakan Islam secara berperingkat. Bebas berdakwah di universiti, jabatan kerajaan dan pusat kerajaan,” ceritanya sehinggalah Barisan Nasional ditubuhkan dan PAS menjadi salah satu anggota.

Jelas Tuan Guru, dakwah PAS telah berkembang dan mencetuskan pengaruh kesedaran Islam di semua premis tersebut dan kalangan pegawai termasuk diwujudkan Kor Agama dalam Angkatan Tentera serta polis.

Bagaimanapun katanya, PAS dan Umno kembali berpecah setelah PAS dikeluarkan daripada BN pada tahun 1979, namun Mahathir memanggil PAS bertemu di rumahnya tahun 1995 mengajak melakukan pindaan Perlembagaan.

Beritahunya, walaupun PAS mencadangkan dipinda Perlembagaan untuk menjamin Perdana Menteri dipegang orang Islam, tetapi Tun Mahathir lebih kepada mahu kawasan pilihan raya dipecah-pecahkan.

“Tetapi silap dia pecah kawasan mengundi, nak sekat PAS menang. Terengganu, Kelantan, Kedah, kawasan orang Melayu. Satu Parlimen 100,000 (pengundi), bandar Kemaman ni 150,000 pengundi.

“Pantai Barat satu Parlimen, 30,000 atau 20,000 (pengundi). Di Sabah, Sarawak 10,000 pun ada. Dia letak Cina 5,000, India 1,000 dalam kawasan-kawasan ni kerana tujuannya PAS tak boleh menang. 

“PAS boleh menang di Terengganu, Kelantan, Kedah je. Tak boleh lebih daripada itu. Kerana negeri-negeri lain PAS tak boleh menang. Walaupun orang Melayu undi PAS, tapi orang Cina, orang India tetap undi BN ini. 

“Strategi yang salah dia buat pada masa itu. Tak apalah, akhirnya tahun 1998 hilang majoriti dua pertiga orang Melayu. Terkapai-kapai. Maknanya kuasa pinda Perlembagaan tak ada dah,” kupasnya lagi.

Menyatukan kembali kekuatan Melayu

Sambung beliau, tahun 2000 banyak pihak datang memujuk PAS termasuk Raja-raja Melayu, para pemimpin Umno dan pensyarah-pensyarah universiti supaya berbaik semula dengan Umno demi selamatkan orang Melayu.

“Saya kata yang buat salah bukan PAS, yang buat salah Umno. Umno kena betul dulu. Umno yang buat salah banyak. Jangan pujuk kita kena pujuk Umno itu. Tengok kita memerintah Terengganu, Kelantan petroleum tak diberi. 

“Tetapi petroleum Sabah dan Sarawak diberi. Kerana apa? Terengganu, Kelantan ni tempat orang Melayu orang Islam,” ujarnya menggesa Umno dinasihati terlebih dahulu ketika itu.

Sebelum PRU14 menurutnya, Tun Mahathir telah memanggil beliau mengajak kepada penyelesaian dengan menggulingkan Umno tetapi perlu bergabung bersama dengan DAP dan PKR.

“Saya kata saya tak setuju. Sebab kita dah (pernah) gabung dengan PKR, dengan DAP. Tapi dia buat salah laku. PKR ini dak boleh percaya. Masa kita bergabung dengan PKR kita tak setuju buat pilihan raya bandaran (PBT).  Kerana selepas 13 Mei pilihan raya bandaran dihapuskan. 

“(Tetapi) PKR letak dalam manifesto pilihan raya. Kalau buat pilihan raya bandaran, habis bandar Pulau Pinang, Ipoh, Seremban, Kuala Lumpur, Johor Bahru, bandar besar boleh ke Cina DAP belaka. Akan jadi begitu,” jelasnya.

Menurut Tuan Guru, selepas seminggu Tun Mahathir kembali menjadi Perdana Menteri, mereka bertemu di mana beliau memberi cadangan untuk pujuk Ahli-ahli Parlimen Melayu dan Bumiputera untuk ambil alih kerajaan.

Diringkaskan cerita katanya, usaha senyap-senyap itu berjaya menjatuhkan Kerajaan PH, namun Tun mahu membuat kerajaan perpaduan sekali lagi melibatkan juga DAP, tetapi PAS tidak bersetuju.

Setelah itu diangkat Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri, tetapi ada pemimpin Umno setelah itu membuat onar menyebabkan Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob pula dilantik ke jawatan tersebut.

Kini kata Tuan Guru, keadaan mencemaskan itu kembali berlaku apabila terbentuknya Kerajaan PH-BN setelah masing-masing tidak mempunyai majoriti yang cukup, tetapi Umno menggunakan petisyen pilihan raya untuk mengambil kerusi. – HARAKAHDAILY 23/11/2023

- Advertisement -

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!