Dilema isu warga asing memandu tanpa lesen di Malaysia

Mohd Hasnizan Harun
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kerajaan diminta menjelaskan tindakan yang boleh diambil terhadap warga asing memandu tanpa lesen.

Mohd Hasnizan Harun (PN-Hulu Selangor) berkata, ramai warga asing di negara ini  yang tidak mempunyai lesen memandu kenderaan.

- Advertisement -

“Apakah tindakan yang boleh diambil kepada mereka, sebab apabila berlaku kemalangan memang menjadi masalah besar,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengemukakan soalan tambahan pada sesi Jawab Lisan, di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, kemudian bangkit menyoal kembali sama ada Mohd Hasnizan mencadangkan supaya pihak kementerian melesenkan warga asing.

“Saya tidak maksudkan begitu. Saya bertanya, apakah tindakan pihak kementerian?” jawab Mohd Hasnizan.

Anthony Loke kemudian berkata, tindakan undang-undang adalah di bawah pihak penguatkuasaan. 

“Tindakan penguatkuasaan dijalankan sepanjang masa oleh pihak polis dan Jabatan Pengangkutan Jalanraya (JPJ). Dua pihak ini adalah penguatkuasa undang-undang di atas jalan raya.

“Kita kuatkuasakan undang-undang. Kalau ada sekatan jalan raya dan kalau melihat ada pemandu bukan warga tempatan dia boleh diberhentikan dan dikuatkuasa undang-undang… di saman dan sebagainya.

“Jadi walaupun kita menjalankan penguatkuasaan sudah tentu kadangkala tidak dapat kita pastikan semua mematuhi peraturan tersebut; dan ada juga dalam kalangan warga asing yang memandu kadang-kadang kalau terlibat dalam kemalangan jalan raya pelbagai kesan sampingan akan timbul.

“Itu juga merupakan satu dilema yang kita hadapi. Pada satu pihak, kita tidak bersetuju untuk melesenkan mereka tetapi pada masa sama sudah tentu ramai warga asing di negara kita mungkin dia terlibat dengan pemanduan kereta dan sebagainya termasuk kenderaan perdagangan. Namun begitu penguatkuasaan yang tegas sentiasa diambil,” katanya.  HARAKAHDAILY 23/11/2023

- Advertisement -