Apa pelan tangani 9.19 juta kanak-kanak di Malaysia?

Mumtaz Md Nawi
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Dato’ Mumtaz Md Nawi (PN-Tumpat) telah meminta Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga Dan Masyarakat menyatakan pelan tindakan pihak kementerian tersebut.

Beliau juga meminta penjelasan berkaitan bilangan jabatan dan agensi khusus bagi menjaga pembangunan, perlindungan dan kebajikan seramai 9.19 juta orang kanak-kanak, yang merangkumi sebanyak 28.1 peratus daripada jumlah keseluruhan penduduk Malaysia.

- Advertisement -

Hal tersebut, ujar beliau, adalah kerana golongan tersebut merupakan golongan terpenting dalam membentuk generasi akan datang.

Sehubungan itu, Timbalan Menteri kementerian terbabit, Aiman Athirah Sabu dalam jawapannya berkata, pihaknya sedang membangunkan satu pelan tindakan termasuk perlindungan golongan itu dalam dunia siber.

“Dasar Kanak-Kanak Negara dan pelan tindakan ini berdasarkan Akta Kanak-Kanak tahun 2021 dan Konvensyen Hak Kanak-Kanak.

“Empat sesi libat urus telah diadakan melibatkan penyertaan aktif pelbagai agensi kerajaan,” katanya.

Dalam soalan tambahan, Mumtaz turut meminta pihak kementerian menyatakan fokus akta tersebut bagi memastikan hak golongan itu.

“Apakah fokus yang akan diberikan oleh pihak kementerian dalam memastikan bahawa Akta  Kanak-Kanak yang akan dibentuk ini selari dengan permasalahan yang dihadapi oleh mereka pada masa akan datang serta fokus pihak kerajaan,” katanya.  HARAKAHDAILY 23/11/2023