Penjagaan alam sekitar dari perspektif Islam

Foto hiasan.
- Advertisement -

Beat Plastic Pollution (Atasi Pencemaran Plastik) adalah tema Hari Alam Sekitar Sedunia tahun ini. Hari Alam Sekitar Negara (HASN) yang jatuh pada 21 Oktober saban tahun, merupakan inisiatif bagi meningkatkan kesedaran rakyat Malaysia berkaitan pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar seiring dengan isu bencana alam dan pemanasan global kini yang kian meruncing.

- Advertisement -

Tema Beat Plastic Pollution bertujuan memberi kesedaran dalam pengurangan penggunaan plastik. Di seluruh dunia, 1 juta botol plastik dibeli setiap minit, manakala sehingga 5 trilion beg plastik digunakan di seluruh dunia setiap tahun. Pengeluaran plastik terus berkembang, dengan separuh daripada semua plastik yang dihasilkan direka untuk tujuan sekali guna. [1]

Plastik yang terbuang ke dalam air atau kawasan pemakanan haiwan boleh mencemari bekalan air dan makanan mereka. Ini mengundang pendedahan kepada bahan kimia berbahaya yang terdapat dalam plastik, lantas merosakkan kesihatan haiwan.

Haiwan laut seperti penyu, burung laut dan mamalia laut sering keliru lalu memakan plastik yang mereka sangkakan makanan. Plastik yang dimakan menyebabkan penyekatan saluran pencernaan, masalah kesihatan serius, malah lebih buruk lagi mengakibatkan kematian.

Allah SWT cinta akan kebersihan

قال رسول الله ﷺ : الطُّهُورُ شَطْرُ الْإِيمَانِ

 “Kesucian (dan kebersihan) sebahagian daripada keimanan.” (H.R. Muslim) [2]

Menjaga kesucian dan kebersihan diri dan alam sekitar merupakan tuntutan agama dalam mencapai kesempurnaan iman.

Al-Imam An-Nawawi dalam menghuraikan hadis ini menegaskan bahawa hadis ini merupakan hadith yang agung, (kebersihan) merupakan asas bagi ajaran agama Islam dan merupakan aspek terpenting dalam kehidupan agama. Al-Imam An-Nawawi turut menambah bahawa, kesucian dan kebersihan merupakan tingkatan penting dalam tingkatan-tingkatan untuk mencapai kesempurnaan iman. [3]

Allah SWT memperindahkan alam sekitar buat manusia

Firman Allah dalam Surah Taha, Ayat 53 & 54:

ٱلَّذِى جَعَلَ لَكُمُ ٱلْأَرْضَ مَهْدًا وَسَلَكَ لَكُمْ فِيهَا سُبُلًا وَأَنزَلَ مِنَ ٱلسَّمَآءِ مَآءً فَأَخْرَجْنَا بِهِۦٓ أَزْوَٰجًا مِّن نَّبَاتٍ شَتَّىٰ ۝  كُلُوا۟ وَٱرْعَوْا۟ أَنْعَٰمَكُمْۗ إِنَّ فِى ذَٰلِكَ لَءَايَٰتٍ لِّأُو۟لِى ٱلنُّهَىٰ ۝

“(Dia lah Tuhan) yang telah menjadikan bumi bagi kamu sebagai hamparan, dan Ia telah mengadakan bagi kamu padanya jalan-jalan lalu-lalang; dan Ia juga telah menurunkan hujan dari langit. Maka Kami keluarkan dengannya berjenis-jenis tanaman dan buah-buahan yang berlainan keadaannya.” (53)

“Makanlah kamu daripadanya dan berilah makan binatang-binatang ternak kamu; sesungguhnya semuanya itu mengandungi tanda-tanda yang membuktikan kemurahan Allah, bagi orang-orang yang berakal fikiran.” (54)

Al-Imam Ibn Jarir At-Tabari dalam Tafsir At-Tabari menukilkan, Allah SWT menjadikan alam sekitar ini pelbagai lorong dan laluan buat kehidupan manusia. Diturunkan nikmat-nikmat-Nya melalui perantara hujan yang renyai dan keluar daripadanya pelbagai tumbuhan yang pelbagai warna, rasa, bau, rupa malah berpasang-pasangan. [4]

Al-Imam Ibn Kathir menafsirkan Ayat 54 Surah Taha; Allah sediakan daripada alam sekitar itu makanan dan buah-buahan untuk manusia. Kemudian, disediakan bagi haiwan ternakan sesuatu daripada rezeki mereka, sama ada yang hijau atau yang kering. [5]

Kemusnahan alam sekitar berpunca daripada perbuatan manusia

Firman Allah di dalam Surah Ar-Rum, Ayat 41:

ظَهَرَ ٱلْفَسَادُ فِى ٱلْبَرِّ وَٱلْبَحْرِ بِمَا كَسَبَتْ أَيْدِى ٱلنَّاسِ لِيُذِيقَهُم بَعْضَ ٱلَّذِى عَمِلُوا۟ لَعَلَّهُمْ يَرْجِعُونَ

“Telah timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia; (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian dari balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat).”

Al-Qurtubi menyatakan bahawasanya kerosakan yang timbul seperti berkurangnya hujan yang turun (kemarau) dan kenaikan harga barang adalah berpunca daripada perbuatan manusia itu sendiri seperti melakukan maksiat, merompak, mengambil hak orang lain dan melakukan kezaliman. [6]

Membuang sampah merata-rata, membuang sisa bahan kimia secara terus ke dalam laut dan sungai, melepaskan asap kilang tanpa tapisan, berleluasa menceroboh hutan, aktiviti pembangunan tidak terkawal, pembakaran terbuka dan kerosakan lain merupakan contoh bentuk melampaui batas dan menzalimi hak orang lain sebagaimana dinyatakan dalam Ayat Al-Quran ini.

Aktiviti seumpama ini menjadi suatu tabiat dalam kalangan rakyat Malaysia lantas memberi kesan jangka masa panjang kepada alam sekitar. Oleh sebab itu, berlakunya peningkatan suhu bumi, pencemaran sumber air, pencemaran udara, banjir besar, tanah runtuh, pembakaran hutan, kepupusan flora dan fauna serta perubahan cuaca tidak menentu yang pastinya menjejaskan kehidupan manusia sejagat.

Bersama kita menjaga alam sekitar, demi kelestarian  bumi dan manusia sejagat di masa akan datang di sampig memenuhi tuntutan agama suci ini yang cintakan kesucian dan keamanan. Biar usaha kita sedikit dan kecil seperti berdisiplin membuat pengasingan jenis sampah antara kertas, plastik, kaca, besi dan sisa pepejal bagi memudahkan proses kitar semula, namun ianya dicatat oleh malaikat bagi memberatkan timbangan amal soleh.

Dengan izin Allah, akan dihuraikan dalam Bahagian 2 berkaitan etika penjagaan alam sekitar seperti larangan membuang air kecil di air yang bertakung dan etika menjaga tumbuh-tumbuhan.

MUHAMMAD FARIS MUHAMMAD ISMI
Pengerusi Lajnah Asas Tani & Alam Sekitar (LATAS)
Dewan Pemuda PAS Negeri Perak – HARAKAHDAILY 22/11/2023

Rujukan:

[1] Kenyataan Akhbar Sahabat Alam Malaysia, Hari Alam Sekitar Sedunia 2023, 5 Jun 2023

[2] Al-Jami’ As-Sahih (Sahih Muslim), Abu Al-Husain Muslim Bin Al-Hajjaj An-Naisaburi (261H), Hadith Nombor 223, Jilid 1, Muka Surat 140

[3] Al-Minhaj Syarah Sahih Muslim Ibn Hajjaj, Abu Zakaria Muhyiddin An-Nawawi (676H), Dar Ihya’ At-Turath Al-Arabi, Jilid 3, Muka Surat 100.

[4] Tafsir At-Tabari, Abu Ja’afar Muhammad Bin Jarir At-Tabari (310H), Dar Hijr (2001), Jilid 16, Muka Surat 85

[5] Tafsir Al-Qur’an Al-Azim (Tafsir Ibn Kathir), Abu Al-Fidaa’ Ismail Ibn Kathir (774H), Dar Taybah (1999), Jilid 5, Muka Surat 299

[6] Jami’ Al-Ahkam Al-Qur’an (Tafsir Al-Qurtubi), Abu Abdullah Muhammad Al-Qurtubi (671H), Dar Al-Kutub Al-Misriyyah, Jilid 14, Muka Surat 41

- Advertisement -