Keputusan petisyen PRU P.040 Kemaman: Persepsi rakyat

- Advertisement -

SUSULAN keputusan Mahkamah Pilihan Raya pada 26 September 2023 lalu yang mengisytiharkan bahawa pilihan raya bagi Parlimen Kemaman (P.040) yang diadakan pada 19 November 2022 [1] adalah tidak sah dan terbatal atas alasan berlakunya perbuatan penyogokan dan rasuah, pihak TSIS telah melaksanakan kajian bagi meninjau persepsi rakyat terhadap keputusan ini.  

Kajian yang dijalankan menggunakan kaedah temu bual secara dalam talian dan panggilan telefon serta secara tatap muka ini adalah melibatkan seramai 1,356 responden terdiri daripada 1,279 orang Melayu, 71 orang Cina dan 6 orang India; 686 orang lelaki dan 670 orang wanita, iaitu bersifat representatif kepada komposisi sebenar pengundi bagi kawasan pilihan raya ini.

Hasil kajian yang dijalankan selama 12 hari bermula 29 Oktober hingga 9 November 2023 ini mendapati bahawa 61 peratus responden tidak bersetuju dengan tindakan Pempetisyen memfailkan petisyen tersebut [2]. Manakala, sebanyak 53 peratus responden menganggap bahawa keputusan oleh Mahkamah Pilihan Raya itu adalah tidak konsisten dan 52 peratus responden juga beranggapan bahawa keputusan tersebut adalah didorong oleh motif politik [3]. 

Majoriti iaitu 58 peratus responden juga berpendirian bahawa pemberian bantuan tunai oleh Kerajaan Negeri Terengganu kepada beberapa kumpulan penerima golongan rentan antaranya ibu tunggal, orang kelainan upaya (OKU) dan warga emas yang dikaitkan dalam dakwaan-dakwaan Pempetisyen adalah tidak menyalahi undang-undang atau ajaran agama [4].  Mengenai pilihan raya yang akan diadakan semula bagi Parlimen Kemaman (P.040) pada 2 Disember ini, sejumlah besar iaitu 74 peratus responden mengatakan bahawa mereka akan keluar mengundi. Justeru, suatu undang-undang atau peraturan atau garis panduan yang jelas mengenai pemberian semasa pilihan raya ini perlu diperkenalkan dan dikuatkuasakan bagi memelihara reputasi mahkamah, menjamin kelancaran pentadbiran kerajaan dan mengelakkan kesusahan kepada para pengundi. 

Sekian. Terima kasih.

TERENGGANU STRATEGIC & INTEGRITY INSTITUTE (TSIS) – HARAKAHDAILY 20/11/2023

Rujukan:

[1] Ustaz Che Alias Hamid (PAS) memperoleh sebanyak 65,714 undi sekali gus menewaskan Dato’ Seri Ahmad bin Said (BN) dengan majoriti sebanyak 27,179 undi.

[2] Petisyen difailkan oleh Wan Mohamad Hisham Wan Abdul Hamid pada 3 Januari 2023. 

[3] Anggapan ini adalah berasas mengambil kira perbezaan keputusan antara petisyen pilihan raya bagi Parlimen Marang (P.037) dan Parlimen Kuala Terengganu (P.036) pada 27 Jun 2023; serta kenyataan Ketua Pesuruhjaya SPRM pada 30 Julai 2023 yang menegaskan bahawa pemberian geran bernilai RM350,000 oleh Kerajaan Persekutuan yang diumumkan Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi kepada belia Terengganu menjelang Pilihan Raya Umum Dewan Negeri ke-15 adalah tidak menyalahi undang-undang atau berunsur rasuah.

[4] Pendirian ini adalah berasas mengambil kira bahawa bantuan-bantuan ini adalah hanya untuk pemohon yang layak mengikut syarat-syarat yang telah ditetapkan dan kesemua bantuan juga ini telah diumumkan lebih awal menerusi Ucapan Belanjawan 2022 pada 15 November 2021 sebelum tarikh pembubaran parlimen pada 10 Oktober 2022.

- Advertisement -

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS.

- Advertisement -