Semoga Malaysia kalahkan Taiwan – Dr Siti Mastura

KUALA LUMPUR: Inisiatif penambahbaikan kualiti padang dan rumput di Stadium Bukit Jalil turut memainkan peranan terhadap peningkatan kualiti persembahan skuad Harimau Malaya pada masa ini, kata Dr Siti Mastura Muhammad (PN-Kepala Batas).

“Mohon Kementerian Belia dan Sukan (KBS) perincikan sehingga kini, stadium-stadium yang telah menyertai projek naik taraf padang dan adakah terdapat syarat atau pra-syarat, tatacara penggunaan padang yang ditetapkan bagi menjaga kualiti padang dan rumput kepada operator stadium yang bersedia menerima tawaran tersebut,” katanya.

Advertisement

Berucap ketika sesi perbahasan peringkat jawatankuasa bagi Kementerian Belia dan Sukan (KBS) di Dewan Rakyat, hari ini, beliau turut mengucapkan tahniah kepada skuad Harimau Malaya di atas kemenangan menewaskan Kyrgyzstan baru-baru ini.

“Semoga skuad negara dapat meneruskan momentum perlawanan menentang Taiwan pada malam ini,” katanya.

Sementara itu, Dr Siti Mastura mencadangkan inisiatif kerjasama antara KBS dan Kementerian Pendidikan serta Kementerian Kesihatan untuk menempatkan jurufisio di sekolah atau klinik kesihatan.

“Adakah terdapat perancangan untuk memanjangkan fungsi perkhidmatan perubatan sukan bersepadu ke peringkat tempatan bagi membantu proses pemulihan ataupun rehabilitasi dalam kalangan masyarakat marhaen, terutama pelajar sekolah.

“Tujuannya adalah bagi menawarkan perkhidmatan perubatan dan pembangunan sukan dalam usaha KBS agar rawatan yang sesuai dapat ditawarkan bagi memastikan kecederaan sukan dapat dikurangkan dan direndahkan kesan cedera jangka panjang.

“Ia juga selaras dengan matlamat KBS untuk membudayakan sukan dalam kalangan rakyat Malaysia dan selain itu dapat membuka peluang pekerjaan kepada mereka yang mempunyai kelayakan dalam bidang fisioterapi, terutama graduan belia negara,” katanya. – HARAKAHDAILY 21/11/2023