Pelaksanaan Tahfiz-TVET perlukan penjelasan

KUALA LUMPUR: Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man meminta kerajaan memperjelaskan perancangan Program Tahfiz Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) atau Tahfiz-TVET.

Menurutnya, kerajaan menunjukkan komitmen dengan memberikan peruntukan sebanyak RM17 juta bagi melaksanakan Tahfiz-TVET.

Advertisement

Katanya, program ini diyakini mampu membuka peluang kepada pelajar tahfiz untuk mempelbagaikan kemahiran dan dalam masa yang sama meneruskan pengajian hafazan.

Selain itu, katanya ia juga berupaya meningkatkan jumlah tenaga mahir negara dalam bidang teknikal seiring dengan kehendak industri tanpa meminggirkan aspek pembangunan agama.

“Namun, perancangan TVET Tahfiz ini mungkin masih tidak difahami bagaimana proses pelaksanaannya. Justeru, bolehkah kementerian menjelaskan proses tersebut dan bagaimana para pemegang taruh boleh menyumbang untuk turut sama menjayakan program ini?” katanya ketika perbahasan peringkat jawatankuasa Kementerian Sumber Manusia (KSM) di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau yang juga Timbalan Presiden PAS berkata, kerajaan menyasarkan peratusan lepasan sekolah memasuki aliran TVET dalam belanjawan 2024 sebanyak 18 peratus.

Katanya, sasaran ini adalah sama seperti sasaran yang dibuat pada tahun 2022 dan persoalan sekarang ialah mengapakah sasaran ini tidak meningkat dalam usaha negara untuk mencapai sasaran 35 peratus jumlah tenaga mahir negara menjelang 2030.

Selain itu, menurut laporan media pada 27 Jun 2023, katanya kerajaan berhasrat untuk mengiktiraf Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) supaya setaraf dengan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bagi meningkatkan kadar kebolehpasaran pemegang sijil TVET.

“Persoalannya, bilakah pengiktirafan ini akan dikuatkuasakan dan apakah cabaran kerajaan untuk melaksanakan inisiatif ini,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata menurut Kementerian Dalam Negeri, seramai 1,120 pekerja asing terkandas dan tidak mendapat pekerjaan meskipun telah berada di Malaysia melebihi tempoh 30 hari sehingga mendapat liputan media antarabangsa.

Katanya, kebanyakan yang terbabit dari Bangladesh dan Nepal ini terpaksa berhutang untuk membayar pelbagai kos untuk masuk bekerja di Malaysia.

“Isu sebegini boleh menyebabkan pekerja diugut untuk segera membayar hutang dan bermungkinan terdedah menjadi buruh paksa. Ini adalah perkara yang serius dan boleh menjejaskan nama baik negara di peringkat antarabangsa.

“Saya merasakan tindakan tegas yang kolektif mesti diambil oleh KSM dan Kementerian Dalam Negeri bagi mengatasi perkara ini terus berlaku. Justeru, apakah status 1,120 pekerja asing terkandas ini sekarang? Apakah langkah pencegahan yang telah dan akan diambil bagi memastikan isu ini tidak berulang lagi agar pekerja asing turut terbela?” katanya. – HARAKAHDAILY 21/11/2023