Ciri dan sifat ibadah orang beriman

- Advertisement -

SURAH as-Sajadah – Keadaan hari kiamat

Manusia dibahagikan kepada dua golongan iaitu orang yang beriman dan tidak beriman. Dalam ayat 12, dijelaskan bahawa orang yang menderhaka kepada Allah sama ada orang kafir atau mukmin yang fasik semuanya tunduk di hadapan-Nya. 

Mereka tidak boleh mengangkat muka kerana tidak dapat melepaskan diri daripada kesalahan. Walaupun kita masih tidak mahu mengaku tetapi semua amal perbuatan kita di dunia akan didedahkan melalui tulisan yang dipanggil sebagai kitab amalan. 

Kitab amalan tersebut ditulis oleh malaikat Raqib dan Atid (Nama yang merujuk  kepada tugasnya). Tidak cukup dengan catatan, anggota badan kita juga akan menjadi saksi. Semua anggota seperti tangan, mata, telinga dan kaki akan bercakap kecuali mulut. Tidak usah difikirkan bagaimana anggota tersebut boleh bercakap. Sebab radio dan televisyen pun boleh bercakap tanpa ada mulut. 

Sekiranya orang yang berbuat salah dan berdosa tidak diampunkan oleh Allah, akan menyesal tidak sudah. Ada yang meminta supaya dikembalikan semula ke dunia untuk melakukan amal yang soleh. Penyesalan pada ketika itu sudah tidak berguna ibarat nasi sudah menjadi bubur. 

Nabi Muhammad S.A.W berpesan kepada kita supaya sentiasa beristighfar pada setiap masa. Sebab kita tidak akan terlepas daripada dosa. Boleh jadi kita tidak minum arak, berzina, merompak dan mencuri tetapi kita tidak tahu kalau ada dosa-dosa lain yang kita lakukan secara sedar ataupun tidak. 

Selain itu, kita dituntut untuk bertaubat. Selepas solat, kita diajar untuk beristighfar paling kurang sebanyak tiga kali. Orang yang tidak beristighfar ibarat orang yang kedekut untuk dirinya sendiri. Sebab istighfar ini adalah untuk diri kita sendiri bukan orang lain. 

Taubat nasuha adalah menyesal dengan kesalahan dan berazam untuk tidak mengulanginya. Kalau masih diulang, itu kelemahan kita. Tetapi, niat kita tetap untuk tidak mengulanginya lagi. Kadang-kadang, tekanan atau hawa nafsu boleh menjadi penyebab kepada pengulangan. 

Sahabat pernah mendengar Nabi S.A.W beristighfar: “Robighfirli watub ‘alayya innaka antat tawwabur rohim” sebanyak tujuh puluh kali. Dalam Hadis lain menyebut, Nabi S.A.W beristighfar setiap hari tidak kurang daripada tujuh puluh kali [1]. Nabi tiada dosa, kalau ada pun akan diampunkan oleh Allah S.W.T. 

Hati tidak tenang kerana kurangnya istighfar dan zikir. Dalam Hadis lain, sesiapa yang melazimi istighfar, dia akan diberi jalan keluar daripada kesulitan, dilepaskan daripada kesempitan hidup, dijauhkan daripada kerunsingan dan diberi rezeki daripada punca yang tidak diduga [2].

Mengikut pandangan ulamak, antara punca rezeki kita menjadi sempit adalah kerana dosa. Oleh sebab itu, istighfar ini amat penting kerana ia membersihkan dosa kita. Ibaratnya, kita akan memberikan duit kepada anak yang paling rapat dan mendengar kata. 

Begitu jugalah dengan Allah S.W.T. Rezeki ini berada di tangan-Nya. Kalau kita tidak rapat dengan-Nya, tidak solat, tidak berpuasa, tidak berakhlak baik, macam mana Allah nak memberi rezeki kepada kita? Istighfar adalah salah satu cara menarik rezeki. 

Mungkin ada yang akan bertanya, mengapa orang kafir boleh menjadi kaya padahal mereka tidak beriman. Itu adalah bahagian di dunia atau istidraj yang bermaksud nikmat dan kelebihan yang akan merosakkannya. 

Permohonan untuk kembali semula ke dunia tidak berjaya. Sebab Allah telah memberikan peluang kepada mereka di dunia. Kalau peluang itu tidak digunakan ketika hidup selama 60 atau 70 tahun, maka setelah itu tiada guna lagi. Di akhirat, sudah tiada lagi masa untuk beramal tetapi untuk dijatuhkan hukuman. Contoh di dunia ini ketika naik ke mahkamah dan perbicaraan dimulakan.

Apabila dibacakan ayat-ayat Allah kepada orang yang beriman, mereka tunduk dan mendengar. Kalau dibacakan mengenai ayat-ayat-Nya tetapi kita buat tidak tahu, macam mana kita nak kata bahawa kita beriman? Ibarat kita kata sayang kepada ibu dan ayah tetapi kita tidak mendengar pun kata-kata mereka, itu sayang yang bagaimana? 

Dalam sejarah pengharaman arak, apabila Allah menurunkan perintah pengharaman arak, ada tiga peringkat dan yang terakhirnya Allah menyebut dalam Surah Al-Ma’idah, ayat ke-90:

- Advertisement -

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِنَّمَا الْخَمْرُ وَالْمَيْسِرُ وَالْأَنصَابُ وَالْأَزْلَامُ رِجْسٌ مِّنْ عَمَلِ الشَّيْطَانِ فَاجْتَنِبُوهُ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ

Sahabat pun menyebarkan mengenai hal tersebut. Ayat itu menjelaskan mengenai pengharaman arak termasuklah judi. 

Reaksi orang Islam pada ketika itu adalah yang mana sedang meminum arak terus berhenti, yang sudah minum setengah gelas terus mencurahkannya, yang baru nak minum tidak jadi minum dan memecahkan tempayan arak sehingga air arak melimpah di atas jalan bumi Madinah. 

Itulah tanda iman. Kalau judi sudah pun diharamkan tetapi kita masih berjudi di belakang pokok pisang atau pokok getah. Allah kata zina itu haram tetapi sanggup pergi ke Golok. Maknanya ada masalah dengan iman kita. 

Tunduk bukan setakat sujud dalam solat tetapi tunduk dengan hati dan jiwa terhadap perintah-Nya. Inilah yang dikehendaki sebenarnya apabila dibacakan ayat as-Sajadah pada setiap pagi Jumaat. Bukan sekadar sujud sajadah yang tidak pernah ditinggalkan tetapi yang penting adalah setelah keluar daripada solat. 

Kita sebenarnya tidak memahami pun apa yang dikehendaki daripada sujud tersebut. Jadi, kita kena menterjemahkan dalam kehidupan supaya jiwa kita tunduk kepada agama. Ikhtiarlah sehabis mungkin agar kita boleh mengikuti agama. Biarlah kita mendapat markah yang lulus apabila mengikuti sunnah-sunnah Nabi S.A.W. 

Kebanyakan orang suka dan menanti-nanti untuk melakukan sujud sajadah. Tetapi tiada langsung yang dapat difahami mengenai ayat yang dibaca. Sedangkan tujuan al-Quran diturunkan adalah hidayah. Tiada makna kalau setiap minggu melakukan sujud sajadah tetapi amalan harian kita seperti cara berfikir, berpakaian dan kerja buat bercanggah dengan agama. 

Tiada guna juga kalau kita solat dan berpuasa tetapi tidak meninggalkan maksiat. Sedangkan tujuan solat adalah untuk mencegah fahsya’ dan kemungkaran. Kalau amalan kita tidak memenuhi tujuan yang dikehendaki, maka ibadah kita tiada nilai. 

Dalam satu Hadis, Nabi S.A.W berkata, kalau solat tidak mampu mencegah seseorang daripada melakukan maksiat dan berbuat dosa, maka hubungan dia dengan Allah semakin menjauh. Jadi, solat tujuannya adalah untuk mengingati-Nya. Tujuan lain adalah untuk mencegah fahsya’ dan kemungkaran. Kata ulamak, fahsya’ merujuk kepada dosa besar seperti zina dan minum arak. Oleh itu, nilailah semula ibadah-ibadah kita. 

Surah as-Sajadah – Sifat-sifat orang beriman

Dalam ayat seterusnya, antara sifat orang yang beriman adalah: 

(1) Banyak memuji Allah S.W.T. Nabi S.A.W mengajar kita supaya membaca Subhanallah sebanyak 33 kali, Alhamdulillah sebanyak 33 kali, Allahu Akbar sebanyak 33 kali dan La ilaha ilallahu wahdahu laa syarikalah sebanyak 1 kali [3]. Nabi S.A.W kata tiada zikir yang lebih disukai kecuali Tasbih [4]. Sesetengah ulamak menyebut, empat kalimah tersebut adalah bekalan yang paling baik untuk kita bawa ke akhirat. 

Dalam satu riwayat disebut, makanan rohani malaikat adalah tasbih. Tasbih memberi kekuatan dalaman kepadanya untuk menunaikan perintah Allah S.W.T. Tasbih juga boleh membersihkan hati kita. Dalam satu Hadis disebut, bacaanSubhanallahil azim wabihamdih atauSubhanallah wabihamdihi subhanallahil azim sebanyak seratus kali sehari akan membersihkan dosa-dosa walaupun sebanyak buih di lautan [5].

(2) Bangun malam. Bangun solat tahajud antara sifat orang yang dekat dengan Allah S.W.T. Berusahalah paling kurang seminggu sekali. Kata ulamak, paling mudah ketika terbangun untuk membuang air kecil, ambillah wuduk dan tunaikanlah solat tahajud dua rakaat, kemudian tidurlah. 

Amalan ini adalah kebiasaan orang-orang soleh. Kalau kita mempunyai hajat atau masalah, waktu malamlah yang paling sesuai sebab lebih dekat dengan-Nya. Syarat untuk tahajud adalah mesti tidur terlebih dahulu. Kalau tidak tidur, itu adalah qiamullail atau menghidupkan malam. 

(3) Membelanjakan apa-apa yang diberikan kepadanya. Maknanya bersedekah selain mengeluarkan zakat. Antara kelebihan sedekah adalah memadamkan dosa umpama air memadamkan api [6]. Maknanya boleh melindungi diri kita daripada seksaan api neraka. Walaupun sedikit, ikhlas itu penting. Nabi S.A.W menyebut, lindungilah dirimu daripada api neraka walaupun dengan sebelah buah tamar [7].

Sayyidatina Aisyah R.A sifatnya sentiasa berpuasa. Pada suatu hari, ada seorang wanita tua datang berjumpa dengannya untuk meminta sedekah. Dia mengadu kelaparan. Aisyah pun masuk ke dapur dan mencari makanan untuk diberikan. Terjumpa sebiji buah tamar yang akan dimakannya ketika berbuka. Aisyah membelah dan memberikan separuh kepada wanita itu. Inilah contoh yang ada dalam sirah. Jadi, bersedekahlah setakat yang kita mampu. 

Allah menyebut, orang yang beriman tidak sama dengan yang tidak beriman. Orang yang tidak beriman atau kafir dikatakan sebagai orang yang fasik. Walau orang kafir menderma ke masjid, menjamu orang makan atau menolong anak yatim sekalipun, tidak serupa sebab mereka tiada iman. 

Dalam ayat seterusnya, dijelaskan mengenai tempat kesudahan bagi orang yang beriman ialah syurga manakala bagi orang yang fasik pula ialah neraka dan mereka akan dikenakan azab yang pedih setimpal dengan kejahatan yang telah mereka lakukan. 

Kuliah Pagi Jumaat disampaikan Yang Dipertua Dewan Negeri Kelantan, Dato’ Sri Amar D’raja Dato’ Haji Mohd Amar Abdullah yang juga Naib Presiden PAS pada Jumaat, 17 November 2023 di Medan Ilmu, Kota Bharu, Kelantan.HARAKAHDAILY 21/11/2023

Rujukan:

[1] Hadis Sahih Riwayat Imam Bukhari (6307).
[2] Hadis Riwayat Abu Daud (1518), dan Ibnu Majah (3819).
[3] Berdasarkan Hadis Sahih Riwayat Imam Muslim (597).
[4] Hadis Muttafaqun Alaih Riwayat Imam Bukhari (6682), dan Imam Muslim (2694).
[5] Hadis Muttafaqun Alaih riwayat Imam Bukhari (6405), dan Imam Muslim (2691).
[6] Berdasarkan Hadis Riwayat Imam At-Tirmizi (2616).
[7] Hadis Sahih Riwayat Imam Muslim (2734).

- Advertisement -