Biarlah rakyat yang senang

Wisma Darul Iman.
- Advertisement -

Keadilan Islam dalam lipatan sejarah (Siri 87)

- Advertisement -

SEORANG lelaki dari anak Zaid bin Al-Khattab r.a. berkata: Umar bin Abdul Aziz memerintah selama 2 tahun setengah iaitu 30 bulan. Beliau tidak meninggal hingga seorang lelaki datang kepada kami membawa harta yang banyak. Katanya: Letakkan harta ini di mana-mana tempat yang ada fakir miskin.

Tidak sampai waktu petang hingga beliau kembali dengan harta itu. Beliau cuba ingat tempat yang ingin diletak tetapi beliau tidak mendapatinya, lalu kembali dengan harta itu. Allah Taala telah menjadikan rakyat merasa cukup dan telah menjadi senang melalui pemerintahan Umar bin Abdul Aziz. (Sirah Umar bin Abdul Aziz, Ibn Abdul Hakam ms 124-125)

Kisah di atas sangat ringkas, namun punya iktibar dan panduan meluas.

Pertama, Umar bin Abdul Aziz memerintah dalam tempoh yang sangat singkat, hanya 30 bulan. Namun, yang menjadi nilai dan ukuran bukan lama atau singkat, tetapi pengisian kepada pemerintahan itu. Firaun memerintah sangat lama di Mesir, tetapi rekod pemerintahannya dipenuhi kezaliman terhadap Bani Israel atau mungkin bangsanya sendiri. Nabi Sulaiman bukan sekadar menikmati menjadi Nabi, juga menjadi pemerintah yang menguasai makhluk lain.

Dalam masa yang singkat, Umar menunjukkan kebijaksanaan memerintah, sehingga kuasa yang ada boleh menjadi penyelamat untuknya di akhirat, tidak seperti Firaun atau Namrud.

Kedua, perkataan harta, fakir miskin adalah antara perkataan yang dikaitkan dengan zakat dari aspek ibadat dan urustadbir cekap, baik, berintegriti dan adil dari aspek pemerintahan. Sering kali harta negara dianggap sebagai harta peribadi. Banyak mana harta negara tergadai, samada kepada orang asing atau keluarga sendiri dan hilang dalam poket baju sendiri.

Fakir miskin hanyalah perkataan menjadi pemanis mulut ketika musim-musim dan peristiwa tertentu, sedangkan kelompok ini kekadang terabai dan diabaikan.

Umar bin Abdul Aziz menunjukkan bahawa dirinya tidak sedemikian. Harta, fakir miskin ialah antara perkara yang mesti diberi perhatian sepanjang pemerintahannya. Kalaulah pentadbir dan pemerintah kini dapat meneladani sikap Umar bin Abdul Aziz ini, alangkah hebatnya.

Ketiga, apabila rakyat sudah merasa puashati terhadap pemerintahnya, ia satu petanda yang sangat baik buat pemerintah itu. Dalam konteks negeri Terengganu, kerajaan negeri pada penggal lepas telah melaksanakan manifesto Pilihan Raya Umum ke-14. Banyak perkara kebajikan dibuat oleh kerajaan negeri.

Saya berpendapat majoriti rakyat Terengganu senang hati dengan pemerintahan Terengganu di bawah Dr Sam, Exco, wakil rakyat dan agensi kerajaan di bawahnya. Memang, yang sempurna hanya Allah. Setakat yang termampu, saya yakin kerajaan negeri di bawah PAS ini berusaha buat yang terbaik. – HARAKAHDAILY 21/11/2023

Penulis adalah Pegawai Khas (Agama) Pejabat Menteri Besar Terengganu.

- Advertisement -