PADA 20 November 2023, ribuan umat Islam berhimpun di hadapan Istana Kehakiman, Putrajaya, menyuarakan bantahan terhadap agenda pihak-pihak tertentu yang mahu membantutkan usaha memperkasakan kembali Perundangan Syariah. Jelas sekali daripada ucapan-ucapan dan slogan-slogan, mereka yang berhimpun melahirkan kemarahan terhadap pihak yang mahu membantutkan usaha tersebut. Persoalannya, siapa yang membangkitkan amarah umat Islam?
Nama-nama mereka yang sering menjadi kontroversi berkaitan agenda anti pemerkasaan Perundangan Syariah tidaklah perlu diisytiharkan, kerana masing-masing sudah mengetahuinya. Sosok mereka pada pandangan umat Islam di Malaysia sebenarnya cukup hina, walaupun mereka sering terkinja-kinja cuba menarik perhatian umum mengenai agenda busuk mereka. Cuma, pada pemerhatian saya, bukan nama-nama itu yang menjadi sasaran amarah mereka yang berhimpun hari ini.
Mereka yang berhimpun hari ini, tidak lagi menyasarkan kemarahan mereka kepada individu atau kumpulan yang sentiasa mempromosi liberalisme, dengan mencabar legitimasi Perundangan Syariah di negara ini. Sepanjang saya memerhati perhimpunan di hadapan Istana Kehakiman pagi semalam, amarah penunjuk perasaan ditujukan kepada sekelompok Pengamal Undang-undang Sivil, sama ada yang berhujah di bawah ataupun yang memutuskan di atas, di dalam Kamar Mahkamah. Boleh jadi atas alasan itu, lokasi yang dipilih untuk mengunjuk rasa adalah di hadapan Istana Kehakiman.
Selepas beberapa episod di Mahkamah Sivil khususnya di peringkat yang tertinggi Mahkamah Persekutuan, membatalkan keputusan-keputusan yang dibuat oleh pihak berkuasa agama negeri-negeri termasuklah Mahkamah Syariah, malah mempertikaikan kuasa Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk menggubal undang-undang tertentu berkaitan dengan Islam, Hakim-hakim Sivil dilihat telah dihakimi pula oleh rakyat khususnya umat Islam.
Di dalam era dunia maya yang terbuka dan kecelikan rakyat yang semakin tinggi, bukan sekadar golongan politik yang lazimnya terlibat sebagai kuasa legislatif dihakimi oleh rakyat, golongan pengamal undang-undang termasuk hakim-hakim juga dihakimi oleh rakyat. Tidak perlu dituduh rakyat mudah dipengaruhi oleh fakta-fakta perundangan yang tidak tepat, kerana rakyat sekarang bukan lagi di bawah tempurung atau buta fakta perundangan.
Saya perhatikan dalam himpunan pagi tadi ramai profesional, akademis, ekonomis, peguam, Ahli Parlimen, Ahli Dewan Undangan Negeri dan seumpamanya, yang turut hadir mengunjuk rasa. Daya intelek dan kecelikan mereka terhadap fakta-fakta tidak boleh diremehkan, sehingga menuduh mereka mudah dipengaruhi oleh pemesongan fakta. Bila mereka mengunjuk rasa amarah mereka, secara langsung bermaksud mereka sudah menghakimi sekelompok golongan pengamal Undang-undang Sivil yang dilihat anti pemerkasaan Perundangan Syariah.
Bila rakyat sudah menghakimi sesuatu perkara, kuasanya cukup keramat. Bukan sekadar ia keramat, episod penghakiman rakyat selalunya disusuli dengan perubahan total sama ada melalui pilihan raya ataupun kaedah-kaedah lain yang demokratik. Saya melihat perhimpunan pagi tadi adalah sebahagian daripada tindak balas tersebut. Boleh jadi pihak penganjur akan menganjurkan unjuk rasa lain yang lebih berlipat kali ganda besarnya selepas ini.
Bila rakyat mula menghakimi sesuatu, penghakiman mereka juga akan menjadi catatan sejarah, malah seringkali ia lebih bertinta emas berbanding laporan-laporan penghakiman di mahkamah. Bila rakyat menghakimi sesuatu, lazimnya ia berlarutan kepada beberapa generasi malah kadang kala menjadi kisah legenda rakyat yang diwarisi sampai bila-bila. Jangan pandang kecil terhadap penghakiman rakyat apa lagi jika penghakiman itu dibuat oleh umat Islam.
DR MOHD ZUHDI MARSUKI – HARAKAHDAILY 20/11/2023
Bila rakyat yang menghakimi
Saat perundangan Syariah dicabar
- Advertisement -