Pembangkang sokong RUU Kawalan Produk Merokok

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kerajaan diminta menyatakan hala tuju Rang Undang-undang (RUU) Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2023 serta generasi penamat (GEG) produk tembakau dan merokok.

Menolak kepentingan politik, Ahmad Fadhli Shaari (PN-Pasir Mas) berkata, barisan pembangkang bakal memberi sokongan tanpa berbelah bagi jika kerajaan berhasrat meneruskan RUU tersebut.

- Advertisement -

Sehubungan itu, beliau meminta Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa supaya tidak tunduk kepada mana-mana pihak kerana masalah tersebut bukan isu politik, malah melebihi kepentingan sesebuah parti politik.

“Saya nak menyatakan pendirian kita bahawa kalau kerajaan membawa RUU Kawalan Produk Merokok dan GEG, kita ahli parlimen di peringkat pembangkang insya-Allah akan menyokong langkah kerajaan.

“Jadi jangan tunduk kepada mana-mana tekanan, ini bukan isu kepentingan politik ia melebihi daripada kepentingan parti politik,” katanya pada sesi perbahasan peringkat jawatankuasa Kementerian Kesihatan di Dewan Rakyat, hari ini.

Ketua Penerangan PAS Pusat itu turut menyatakan kekecewaan terhadap kawalan dan penguatkuasa terhadap aktiviti merokok yang terus berlaku di kedai makan dan restoran kebelakangan ini.

Beliau berkata, kerajaan pada hari ini tidak serius membentung perbuatan itu berbanding zaman pemerintahan Pakatan Harapan dan mantan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.

Menurutnya, larangan merokok di kawasan awam membabitkan kedai makanan dan restoran yang dilaksanakan sejak Januari 2019 kini dilihat semakin diabaikan oleh sebahagian rakyat Malaysia.

“Bagaimana isu kawalan merokok restoran dan kedai makan dianggap longgar pada hari ini, tahniah kepada Kuala Selangor ketika jadi menteri dahulu saya fikir ketika itulah sangat tegas.

“Penguatkuasaan yang sangat ketat sehingga orang takut nak hisap rokok dalam kedai makan, restoran ia perlu diulangkan semua pada hari ini supaya orang nampak tindakan tegas ini,” katanya. – HARAKAHDAILY 20/11/2023

- Advertisement -