Konflik Palestin-Israel: Bukan perang, tetapi pembunuhan

- Advertisement -

CYBERJAYA: Perkembangan sedang berlaku di Gaza ketika ini bukanlah suatu peperangan, tetapi ianya merupakan tindakan untuk membunuh orang-orang Palestin, demikian tegas bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Menurutnya, tindakan sedang terjadi itu dilakukan secara luar biasa dengan mempunyai hasrat-hasrat tertentu sebagaimana pernah terjadi ke atas Iraq yang dituduh oleh Amerika mempunyai senjata pemusnah suatu ketika dahulu.

“Itu sebabnya Amerika serang Iraq untuk hapuskan rejim yang dikuasai oleh Saddam Hussein. Hari ini kita dengar kononnya HAMAS melancar roket-roketnya yang membunuh 1,400 orang Israel.

“Banyak tentulah marah orang Israel dan mereka bertindak untuk membalas serangan terhadap Palestin sehingga sekarang mereka sudah bunuh lebih daripada 11,000 orang dan kita dapat lihat pembunuhan ini,” ujarnya.

Beliau mengupas demikian pada program Bicara 2 Tokoh Negarawan membicarakan tajuk ‘Masa Depan Palestin: Apakah Perlu Dilakukan?”, di sini sebentar tadi.

Sangkal beliau, jika benar dakwaan terhadap HAMAS itu sudah tentulah dapat dilihat kerosakan teruk berlaku di bandar-bandar Israel dan rumah yang runtuh, tetapi laporan menunjukkan sebaliknya.

“Saya percaya bahawa ini seperti juga dakwaan bahawa Sadam Hussein mempunyai senjata pembunuhan beramai-ramai, ini juga satu pembohongan oleh pihak Yahudi. Pembohongan kerana mereka ingin cari sebab untuk menawan Gaza. 

“Kerana mereka berpendapat bahawa di Gaza ini ada banyak benda-benda yang boleh dilakukan oleh mereka yang akan menguntungkan mereka. Bahkan akan untungkan Eropah dan Amerika. Untuk menyerang Gaza mereka perlu cari alasan sebab,” ujarnya.

Tegasnya, pembohongan yang pernah berlaku ke atas Iraq kini sedang dilakukan di Palestin di mana cara sama bukan sahaja digunakan Israel, tetapi juga Amerika iaitu dengan alasan untuk membunuh.

“Mereka mempunyai negara yang dirampas daripada orang Palestin. Tak pun tanya sama ada orang orang Palestin bersetuju ataupun tidak, tiba-tiba Bangsa-bangsa Bersatu memberi separuh daripada Palestin kepada orang Israel, orang Yahudi.

“Untuk didirikan negara Yahudi negara Israel. Itu adalah satu ketidakadilan. Kita di sini nak masukkan Sabah dan Sarawak ke dalam Malaysia. Kita ada suara. Kita tanya orang Sabah, orang Sarawak. Awak bersetuju ataupun tidak. 

“Tetapi untuk tanah Palestin untuk diberi kepada Israel tak ada pungutan suara sama sekali. Inilah kezaliman mereka,” ujar beliau yang kini merupakan Penasihat State-Government 4 (SG4). – HARAKAHDAILY 20/11/2023

- Advertisement -
- Advertisement -