CYBERJAYA: ‘Two-State Solution’ adalah kesinambungan daripada perlaksanaan penjajah Inggeris terhadap perjanjian antara Balfour dengan Theodor Herzl pemimpin Zionis terkenal yang mahu menubuhkan negara Yahudi di Palestin.
Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, berlakunya perjanjian yang terkenal itu di mana di negeri-negeri Arab telah dibahagikan dalam kalangan pemimpin yang menyokong Perancis dan kuasa besar untuk menjatuhkan Uthmaniyah.
“Ada pun Palestin menjadi bahagian pada British. Di masa itulah British melakukan operasi memindahkan orang-orang Yahudi ke Palestin seramai-ramainya bagi melaksanakan perjanjian Sykes-Picot untuk beri tempat pada orang Yahudi.
“Sebaik sahaja mereka datang ke Palestin, orang Yahudi dengan kebenaran British menubuhkan kumpulan pengganas yang dikenali dengan Haganah antara ketuanya ialah Menachem Begin.
“Salah seorang Perdana Menteri dia, jadi ketua kumpulan ini mengumpulkan mereka yang dilatih dalam Perang Dunia yang kedua yang terlibat. Orang Yahudi ni dibawa balik jadi tentera yang melakukan keganasan terhadap orang-orang Palestin untuk merampas bumi Palestin.
“Di samping mereka menggunakan kekayaan membeli tanah orang Palestin dengan harga yang mahal. Oleh kerana ramai yang miskin, nak duit. Tempat kita pun macam itu. Jual tanah ni jual pada orang Yahudi,” ujarnya.
Keadaan tersebut kupas beliau, menyebabkan banyak tanah orang Palestin terjual kepada Yahudi dan kemuncaknya berlaku banyak keganasan hinggalah para ulama dan mufti Palestin membangkitkan kesedaran.
Jelasnya, Muktamar Islam 1931 itu bagaimanapun tidak mendapat suara yang kuat walaupun mereka mengisytiharkan perjuangan mempertahankan Baitul Maqdis kerana bumi umat Islam telahpun dijajah.
“Akhirnya tahun 1948, dengan sokongan British Amerika dan kuasa-kuasa besar diisytiharkan negara Israel yang terkenal itu dengan membahagikan wilayah yang sudah dikuasai oleh orang Yahudi menjadi negara Israel.
“Ada pun tempat orang Arab yang dihalau itu orang Arab punya,” ujarnya pada Bicara 2 Tokoh Negarawan membicarakan tajuk ‘Masa Depan Palestin: Apakah Perlu Dilakukan?”, di sini sebentar tadi.
Pada tahun 1967 ceritanya, berlaku perang Israel dengan Mesir, Syria dan Arab di mana kekalahan yang dialami menyebabkan Israel mengemukakan penyelesaian dikemukakan Amerika, British dan kuasa Barat itu.
“Jadi itu adalah kesinambungan daripada cadangan British, kuasa-kuasa yang ada. Mereka yang bantu Israel tolong Israel dengan segala senjata menghalalkan semua tindakan Israel termasuklah membunuh wanita, kanak-kanak, orang tua.
“Serang gereja, masjid, sekolah, hospital, semua dihalalkan. Kuasa-kuasa besar ini. Tiba-tiba dia nak jadi pendamai, mengemukakan cadangan ‘Two-State Solution’. Ini satu penipuan. Apa yang menarik ini? Yahudi tak terima. Mereka tidak terima,” ujarnya.
Beliau memberitahu bagaimana Yahudi bertindak memindahkan penganutnya daripada seluruh dunia dan membesarkan negaranya dengan merampas rumah, kebun dan tanah orang Palestin secara kekerasan.
Mereka itu jelas Tuan Guru, dilindungi polis dan tentera Israel di mana para pendatang itu juga turut dilatih dengan senjata sedangkan orang Palestin menghadapi mereka dengan tangan kosong. – HARAKAHDAILY 20/11/2023