Rakyat Palestin tidak tahu ibunya syahid atau tidak

Yousef K.O Assi
- Advertisement -

KOTA BHARU: Seorang rakyat Palestin, Yousef K.O Assi, 28, memohon kerajaan Malaysia supaya membantu menghantarnya pulang ke Palestin berikutan negara berkenaan diancam kemusnahan besar sekarang.

- Advertisement -

Yousef yang tinggal di Malaysia sejak sembilan tahun lalu menghantar surat kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dua minggu lalu supaya membantu menghantarnya pulang melalui Rafah.

Namun katanya, setakat ini hasrat tersebut belum lagi menjadi kenyataan kerana tiada sebarang jawapan daripada pihak kerajaan.

Katanya, jiwanya tidak begitu tenteram terhadap bencana kerakusan Zionis Israel yang menimpa Palestin lebih 40 hari sehingga rumah keluarganya dibom dua kali.

“Selama sembilan tahun saya tinggal di Malaysia, belum pernah pulang namun khabar duka yang saya terima. Saya tidak pasti apakah ibu saya telah meninggal, tetapi ayah saya masih hidup.

“Saya pernah nampak di televisyen ayah sedang solat jenazah, di hadapannya ada jenazah, tetapi saya tidak tahu siapa yang syahid,” katanya ketika berucap pada majlis Himpunan Solidariti Klate Palestin di Dataran Warisan petang semalam.

Hampir 10,000 anak-anak muda hadir pada program yang diadakan pada sebelah petang sebelum bermula acara kemuncak di dalam stadium.

Yousef juga berkata, sepupu bersama seorang anaknya syahid akibat serangan Israel tanpa belas ihsan itu.

Beliau turut melahirkan rasa syukur dan terharu di atas sokongan rakyat Malaysia termasuk Kelantan yang menyatakan sokongan padu terhadap umat Islam di Palestin. – HARAKAHDAILY 19/11/2023

- Advertisement -