KOTA BHARU: Banjir besar yang menenggelamkan banyak rumah di Rantau Panjang tahun lepas dikenal pasti punca air tersekat akibat projek tebatan banjir yang belum siap.
Adun Gual Periok, Kamaruzaman Mohamad berkata, Projek Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu (PLSB) bagi fasa dua sekiranya tidak dipercepatkan boleh mengundang risiko banjir lagi.
Katanya antara punca banyak kerosakan harta benda milik penduduk ekoran projek tebatan banjir di Sungai Golok belum siap sepenuhnya.
“Dalam beberapa mesyuarat bersama agensi kerajaan untuk menghadapi banjir, saya tegaskan agensi terlibat perlu sedia memecahkan benteng sekiranya perlu.
“Ia untuk mengelak banjir besar berulang sehingga menenggelam banyak rumah penduduk, saya sebut kalau boleh jangan sampai rumah rakyat tenggelam dahulu baru nak pecah benteng,” katanya.
Beliau ditemui selepas menyempurnakan majlis pelancaran tiga buku yang diterbitkan oleh Kembara Sastera di sebuah hotel di sini petang semalam.
Penduduk Rantau Panjang sebelum ini mendakwa pembinaan benteng banjir di Sungai Lanchang Lemal punca rumah mereka dilanda banjir terburuk Disember lalu.
Benteng sepanjang kira-kira 20 kilometer Projek Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu Sungai Golok (KESBAN) dibina bermula dari Kampung Tersang di Sungai Lanchang melalui Sungai Lubok Jong ke Kampung Rengas dekat Danau Tok Uban.
Pembinaan benteng terbabit melibatkan kos RM656 juta dan dijangka siap tahun 2024.
Kamaruzaman juga berkata Pusat Khidmat Dun Gual Periok membuat persediaan termasuk menyediakan lapan bot dilengkapi dengan enjin untuk kegunaan di kawasan agak kritikal.
Katanya beberapa lokasi yang sering ditenggelami banjir sudah dikenal pasti dan akan diagih bot enjin kepada penghulu untuk kegunaan aktiviti menyelamat dan menghantar bantuan.
“Di peringkat Dun juga kita beberapa mesyuarat dan membuat persiapan terutamanya penyediaan bot dan kemudahan Pusat Pemindahan Sementara,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 19/11/2023
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!