PRK Kemaman: PN tidak boleh ‘over confident’

- Advertisement -

KOTA BHARU: PERIKATAN NASIONAL (PN) tidak boleh over confident malah perlu bekerja keras bagi memastikan kemenangan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kemaman 2 Disember ini.

- Advertisement -

Timbalan Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Ibrahim Tuan Man bagaimanapun berkata, setakat ini maklum balas yang diterima sangat positif dan mendapat kerjasama parti-parti komponen.

Katanya, PAS meletakkan calon Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri sebagai calon pada PRK tersebut kerana beliau mempunyai kelebihan dan pengalaman dalam politik.

“Hasrat kita jika calon menang dapat membawa agenda negeri ke peringkat Pusat secara terus di Parlimen.

“Justeru itu, kita perlu memastikan rakyat keluar mengundi supaya peratusan dan sokongan dapat dipertingkat,” katanya pada sidang media selepas Himpunan Munajat Pertahan Enakmen Syariah dan Solidariti Untuk Palestin Peringkat Negeri Kelantan di sini malam tadi.

Hadir sama, Presiden PAS Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dan Menteri Besar Kelantan, Dato’ Mohd Nassuruddin Daud dan pimpinan utama kerajaan negeri.

Pada PRK 2 Disember ini Dr Samsuri akan berdepan calon Barisan Nasional (BN), Jeneral (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor.

Tuan Ibrahim juga berkata, kehadiran Menteri Besar sebagai calon PRK Parlimen Kemaman memberi kelebihan kerana lebih dikenali penduduk tempatan berbanding calon BN. – HARAKAHDAILY 19/11/2023

- Advertisement -