KANGAR: Yang Dipertua PAS Kawasan Kangar, Ustaz Yussaine Yahya berkata, melaksanakan kerja Islam bukan pilihan kerana apa yang dilakukan itu bagi menegakkan Islam di muka bumi Allah.
Justeru itu, ujarnya bersabarlah dengan setiap cabaran yang melanda.
“Maksud kerja Islam ini seperti hadir program, hadir mesyuarat, hadir usrah dan setiap program yang dianjurkan oleh PAS.
“Meninggalkan perjuangan juga satu dosa di hadapan Allah, maka istiqamahlah dalam perjuangan ini,” katanya ketika menyampaikan ucapan aluan sempena Program Himpunan Mahabbah (HIMMAH) Dewan Muslimat PAS Kawasan Kangar, di Markas Tarbiah PAS Kawasan, di sini, hari ini.
Hampir 100 orang muslimat hadir pada program tersebut melibatkan lima cawangan iaitu Bintong, Sena, Kuala Perlis, Kayang dan Indera Kayangan.
Turut diadakan kutipan derma Palestin serta pelancaran himpunan tersebut yang akan diadakan secara berkala.
Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kayang, Ustaz Asrul Aimran Abd Jalil dan Ketua Dewan Muslimat PAS Kawasan, Ustazah Ummu Tasneem. – HARAKAHDAILY 19/11/2023
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!