PUM desak batalkan konsert Colplay

Dr. Muhamad Alihanafiah Norasid
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Persatuan Ulama Malaysia (PUM) memandang serius penganjuran konsert Coldplay yang akan diadakan pada 22 November ini di Stadium Bukit Jalil.

- Advertisement -

Ketua Syubban (Pemuda) PUM, Dr. Muhamad Alihanafiah Norasid berkata, penganjuran program berbaur hedonisme itu jelas melalaikan umat Islam dan rakyat Malaysia lantaran jauh daripada norma dan tatasusila tempatan.

“PUM menyelar sekeras-kerasnya penganjuran konsert ini yang boleh mengundang kemurkaan Allah SWT.

“Kemungkaran yang tidak dicegah akan menjemput bala bencana yang tidak hanya ditimpakan ke atas orang yang zalim dan pelaku dosa semata-mata,” ujarnya dlam kenyataan, hari ini.

Katanya, takutlah akan peringatan daripada Allah SWT dalam Surah al-Anfal, ayat 25 yang bermaksud: “Dan jagalah diri kamu daripada (berlakunya) dosa (yang membawa bala bencana) yang bukan sahaja akan menimpa orang-orang yang zalim di antara kamu secara khusus (tetapi akan menimpa kamu secara umum). Dan ketahuilah bahawa Allah Maha berat azab seksa-Nya”.

Ironinya, ujar beliau penganjuran konsert sebegini diadakan ketika kerajaan memperkenalkan gagasan Malaysia Madani.

Katanya, kerajaan mempunyai tanggungjawab legal dan moral untuk membendung gejala yang boleh meruntuhkan nilai moral dan budaya lokal.

Sebaliknya, ujar beliau lagi, dengan menggalak dan menyuburkan budaya tidak sihat boleh menggagalkan agenda pembentukan warganegara yang bertanggungjawab lagi bertamadun.

“PUM menegaskan bahawa hiburan dalam Islam mempunyai garis sempadannya yang perlu dipatuhi,” ujarnya.

Beliau menegaskan, penganjuran konsert Coldplay dilihat telah melewati garis sempadan Islam sekali gus bertentangan dengan hukum syarak.

Tambahnya, PUM menyokong penuh kenyataan Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Prof Madya Dr Luqman Abdullah agar penganjur tidak meneruskan program yang membawa kepada kebejatan akhlak rakyat

“Malaysia, apatah lagi kumpulan Coldplay ini dipercayai ada kaitan dengan agenda mempromosikan LGBT yang jelas bercanggah dengan syariat Islam,” ujarnya lagi.

Masyarakat juga, kata beliau dinasihatkan agar tidak memberi sokongan terhadap program sebegini kerana ia boleh mencemarkan minda umat Islam dengan hiburan melampau, bahkan berisiko terjajah dengan krisis identiti yang cuba dinormalisasi oleh beberapa pihak.

Tambahan pula, katanya penganjuran konsert itu diadakan ketika rakyat Palestin sedang diganyang oleh rejim zionis Israel tanpa belas.

Beliau berkata, hiburan melampau itu mengheret rakyat Malaysia khususnya anak muda agar tidak sensitif dengan jenayah kemanusiaan dan korban jiwa yang terus meningkat.

Tambahnya, harga tiket konsert yang ditempah menjadi galang ganti kepada kemusnahan, penindasan, dan genosid di Palestin khasnya di Semenanjung Gaza.

“Justeru, PUM mendesak agar konsert Colplay ini dibatalkan serta-merta.

“Bukalah mata dan bangkitlah di saat saudara kita di Gaza sedang dibedil dan dibantai dengan penuh rakus dan sadis sementara sebahagian umat Islam masih hanyut dibuai mimpi dan kealpaan,” ujar beliau. – HARAKAHDAILY 19/11/2023

- Advertisement -